Fatwa Hukum Penyaluran Hasil Gharamah Institusi Kewangan Islam Ke Baitulmal
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 5/2012 yang bersidang pada 20 Muharram 1434H bersamaan 4 Disember 2012 telah membincangkan mengenai Fatwa Hukum Penyaluran Hasil Gharamah Institusi Kewangan Islam Ke Baitulmal. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut :
Mesyuarat sebulat suara bersetuju menerimapakai dan memperakukan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-99 mengenai Hukum Penyaluran Hasil Gharamah Institusi Kewangan Islam ke Baitulmal untuk diwartakan sebagai Fatwa sighah seperti berikut :
1.Keharusan mengenakan gharamah ke atas penerima biaya yang mungkir adalah berasaskan hadis Rasulullah SAW yang menyifatkan kelewatan pembayaran hutang oleh orang yang berkemampuan sebagai satu kezaliman dan boleh memudaratkan institusi kewangan Islam.
2.Gharamah yang dihasilkan dalam institusi kewangan Islam perlu disalurkan kepada institusi yang berkait secara khusus dengan umat Islam supaya ianya tidak disalahgunakan.
3.Sehubungan itu, selaras dengan kedudukan dan fungsi Baitulmal sebagai institusi tertinggi dalam menguruskan wang dan harta umat Islam, maka hasil gharamah Institusi Kewangan Islam hendaklah disalurkan ke Baitulmal bagi memastikan penggunaan harta tersebut menepati maslahah ‘ammah umat Islam.