JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Fatwa Berkaitan Ahbash

Kategori: Akidah
Tahun: 2016
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Perlis
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-20 & 21/2016 pada 18-19 Februari 2016M @ 9-10 Jamadil Awwal 1437H telah membincangkan mengenai Ahbash. Jawatankuasa berpandangan bahawa Islam adalah agama yang menyeru perdamaian dan islah antara manusia dan mengamalkan agama tanpa bersifat melampau. Islam melarang dari bersikap mudah mengkafir dan menyesatkan sesame muslim di atas sangkaan. Demikian Islam juga melarang mengubah tujuan perkataan atau tulisan pihak lain di atas perkara yang tidak mereka maksudkan. Setelah bermesyuarat maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis merumuskan seperti berikut:

 

Ahbash adalah aliran yang diasaskan oleh Abdullah al-Hariri al-Habashi yang mendakwa mereka beraliran Asya’irah, tetapi aliran Ahbash ini adalah sesat dan melampau (ghulu) dalam menghukum pihak lain. Asas kesesatan mereka bukan kerana aliran Asya’irah yang dipegang, tetapi kerana sifat melampau (ghulu) dalam mengkafir dan menyesatkan pihak yang berbeza. Mereka juga mengamalkan pendekatan mengutuk, mencerca dan memalsukan kalam pihak yang berbeza dengan mereka. Mereka telah mengkafirkan tokoh-tokoh ulama silam seperti Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, al-Zahabi dan ulama semasa seperti al-Qaradhawi, al-Bhuti, Ibn Baz, Ibn Uthaimin, al-Albani, Mutawali al-Sya’rawi, Sayyid Qutb dan selainnya.

 

Setelah meniliti fatwa-fatwa para ulama di peringkat antarabangsa seperti Dar al-Ifta’ Mesir (Majlis Fatwa Mesir), Majlis Fatwa Arab Saudi, fatwa Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Dr. Wahbah al-Zuhaili, Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Bhuti dan lain-lain. Maka dengan itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berpendapat bahawa aliran Ahbash adalah salah satu daripada aliran yang melampau, sesat dan menyesatkan. Kewujudannya dalam kalangan masyarakat Islam amat merbahaya. Jawatankuasa Fatwa Negeri berpandangan bahawa aliran ini hendaklah dicegah dari dipegang dan disebarkan.

 

___________________________________________________________________________

Keputusan ini telah diperakukan oleh Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil. 2/2016 pada 5 April 2016M bersamaan 27 Jamadil Akhir 1437H

 

Klik disini untuk mencetak