JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Membendung Pengaruh Syiah

Kategori: Akidah
Tahun: 2012
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Johor
Keputusan
:

1. Adalah ditetapkan bahawa umat Islam di Negeri Johor hendaklah mengikut undang-undang dan ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahlis Sunnah Wal Jama’ah dari segi aqidah berpandukan mazhab Al-Asya’irah dan Al-Maturidiah, Syariah berpandukan mazhab Syafi’e. Walaubagaimanapun tiga mazhab yang mu’tabar iaitu Hanafi, Maliki dan Hanbali boleh dirujuk dan digunakan dalam menyelesaikan masalah-masalah tertentu dan dari segi akhlak hendaklah berpegang dengan akhlak Islamiyyah.

 

2. Bahawa Fahaman dan Ajaran Syiah adalah bercanggah dan menyeleweng daripada pegangan Ahlis Sunnah Wal Jama’ah yang boleh menjadi ancaman kepada perpaduan ummah, keutuhan agama, perpaduan bangsa dan keamanan Negara.

 

3. Fahaman dan Ajaran ini perlu disekat keseluruhannya dari berkembang di Negeri Johor Darul Ta’zim berdasarkan terdapat beberapa pencanggahan di dalam fahaman tersebut sama ada dari sudut Aqidah, Syariah dan Akhlaq.

 

4. Oleh itu, mana-mana orang Islam atau kumpulan adalah dilarang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman tersebut kerana ia bertentangan dengan pegangan Ahlis Sunnah Wal Jama’ah. Larangan ini meliputi:

  • Untuk mengajar, mempelajari, mengamalkan, berpegang kepada atau untuk menyebarkan ajaran-ajaran atau fahaman-fahaman yang terkandung di dalam ajaran dan fahaman Syiah; atau


  • Untuk menerbitkan apa-apa bentuk versi atau variasi atau apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa atau apa-apa bahan publisiti, sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media, atau apa-apa kaedah yang boleh membawa kepada penyebaran ajaran-ajaran tersebut; atau


  • Untuk menjadi anggota atau pemimpin mana-mana golongan Syiah atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian.

 

5. Adalah ditetapkan mana-mana Umat Islam di Negeri Johor yang mengingkari Fatwa ini adalah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

 


Siaran Warta Fatwa Syiah Johor

Klik disini untuk mencetak