JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Pembedahan Mayat Di Hospital Dan Wang Pampasan.

Kategori: Perubatan
Tahun: 1999
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Terengganu
Keputusan
:

Mesyuarat bersetuju menjawab soalan-soalan yang dikemukakan berpandukan kitab-kitab Fatwa semasa termasuk buku ' Fatwa-fatwa Mufti Kerajaan Terengganu 1953-1970.

Jawapan kepada soalan-soalan dalam bahagian kemusykilan pertama adalah seperti berikut:


i. Pembedahan Mayat sebagaimana yang dilakukan di hospital-hospital pada hari ini ialah suatu perkara baru yang tidak berlaku pada zaman awal Islam kerana pada masa itu belum timbul keperluan kepada pembedahan. Tambahan lagi sebagaimana yang diketahui perkembangan ilmu perubatan belum sampai ke peringkat seperti yang ada hari ini. Oleh yang demikian tidaklah dibahaskan oleh ulamak Mutaqaddimin dalam kitab-kitab feqah. Bagaimanapun al-Imam an-Nawawi ada menyebut dalam kitabnya al-Majmu". Terjemahan seperti berikut:


'Kiranya ditelan oleh orang yang mati itu akan sebutir permata yang berharga kepunyaan orang lain dan dituntut balik oleh tuannya maka ketika itu haruslah dibelah perutnya kemudiam dikembalikan permata itu kepada tuannya dan kiranya mati seorang perempuan yang masih mengandung dan anak yang dikandung itu masih hidup waktu itu haruslah dibelah perutnya kerana mengeluarkan anak itu dengan tujuan memelihara satu nyawa walaupun dengan merosakkan satu bahagian daripada anggota mayat itu.'


Memandangkan maslahah yang wajib dikawal dan dipelihara pada zaman ini maka amalan pembedahan mayat oleh mereka yang pakar dalam ilmu itu adalah mustahak dan penting. Seseorang yang tidak mendalami hikmah tasyri" mungkin mengatakan hukum pembedahan mayat orang Islam itu haram dengan sebab agama Islam memuliakan anak Adam dan memerintahkan orang yang hidup memuliakan mayat dan jangan menyakitinya. Sebaliknya sayugialah diingatkan bahawa menurut kaedah tasyri" iaitu segala hukum syara' itu dilunaskan di atas mengawal faedah dan maslahah serta menjauhkan kerosakan. Maka mana-mana perkara yang ada padanya kerosakan yang lebih besar disuruh meninggalkannya.


Sehubungan dengan itu sukacita dinyatakan bahawa Sahibul Fadhilah al-Marhum as-Syiekh Yusuf ad-Dajwi seorang ulamak yang termasyhur di Mesir telah memfatwakan bahawa pembedahan mayat orang Islam itu harus, dan dengan sebab-sebab yang dibentangkan di atas itu Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa pembedahan itu harus dilakukan pada zaman ini kerana memelihara dan mengawal maslahah umum bila berlaku kematian-kematian yang menimbulkan syak dan syubhah, lebih-lebih lagi perkembangan rekaan-rekaan baru yang makin bertambah dengan senang sahaja kejadian-kejadian jenayah itu dapat ditudung dan benamkan qarinah-qarinah dan punca-punca yang harus akan membongkar rahsianya. Wallahua"lam.


ii. (a) Hendaklah dipastikan terlebih dahulu tentang kematian mayat berkenaan. Ini untuk mengelakkan dia dibedah dalam saat-saat terakhir hayatnya (belum benar-benar mati).


(b) Hendaklah bedah siasat itu dalam kes yang bersabit dengan hak orang lain terhadap si mati tanpa diragui lagi. Kalau kematian biasa yang tidak kena mengena dengan tuntutan orang lain terhadapnya, tidaklah harus dilakukan pembedahan.


(c) Hendaklah sempurna keadaan darurat yang memaksa dilakukan pembedahn ini seperti untuk mempastikan kematian disebabkan perbuatan penjenayah dan sebagainya.


(d) Hendaklah proses pembedahan ini dilakukan secara berhati-hati, cermat dan halus bagi menjaga kehormatan si mati.


(e) Hendaklah diperolehi terlebih dahulu keizinan ahli warisnya sekiranya mereka masih ada. Keizinan memang perlu bagi tujuan menjaga perasaan waris-warisnya.


iii. Pengambilan apa-apa bahagian daripada anggota mayat untuk kajian ekoran daripada bedah siasat bagi dijadikan bahan bukti di mahkamah atau untuk kajian perubatan adalah dibolehkan dalam keadaan terhad iaitu ketika kajian itu benar-benar diperlukan ataupun dalam keadaan darurat di mana keadilan tidak dapat dilaksanakan tanpa bedah siasat tersebut.


Pendapat ini berpandukan kepada perbincangan ulamak muta-akhiriin dalam penulisan mereka mengenai masalah tersebut.


Kemusykilan Kedua:

i. Wang pampasan yang diterima itu bukan pusaka si mati yang wajib dibahagikan di antara waris-warisnya menurut hukum faraid.


ii. Wang itu hendaklah diurus perbelanjaannya mengikut keutamaan bagi memenuhi keperluan dan kebajikan hidup anak-anaknya.

Klik disini untuk mencetak