JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Pindaan Fatwa Tentang Fahaman Dan Ajaran Yang Dipegang Oleh Kumpulan Al-Arqam Pimpinan Haji Ashaari Muhammad

Kategori: Akidah
Tahun: 1994
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Selangor
Keputusan
:

A. Bahawa:

(a) Buku yang bertajuk 'Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam sekaligus menjawab tuduhan ' yang ditulis oleh ustaz Ashaari Muhammad; dan


(b) 'Manaqib ( Riwayat hidup ) Sheikh Muhammad bin Abdullah as Suhaimi' yang ditulis oleh Mohamad Taha as-Suhaimi.


Didapati kedua-dua buku dan manaqib tersebut di atas mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan akidah dan syariah Islamiah serta boleh mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Oleh yang demikian kedua-dua buku dan manaqib tersebut adalah diharamkan.


B. Bahawa kumpulan Darul Arqam atau al-Alqam yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman yang terkandung dalam buku bertajuk Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam sekaligus menjawab tuduhan dan Kitab Manaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi adalah diharamkan.


C. Bahawa pengharaman ini meliputi :


(a) apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran yang tersbut dalam butiran (A) dan termasuklah apa-apa pegangan ideology atau falsafah atau apa-apa kumpulan atau sistem amalan dan penunaian yang merangkumi bahawa tujuannya atau salah satu daripada tujuan-tujuannya ialah pencapaian pengajaran kebatinan, perlindungan kebatinan atau kewujudan kebatinan; iaitu suatu pegangan, ideologi, falsafah atau kumpulan atau sistem amalan atau penuaian yang tidak diakui dan bertentangan dengan syariat Islam dan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah;


(b) apa-apa jua bahan publisiti kumpulan Darul Arqam atau Al Arqam, termasuk mana-mana terbitan, ertinya apa-apa bahan termasuklah suatu gambar, gambarfoto, poster, rajah, surat edaran,glansar filem,iklan di akhbar dan apa-apa bentuk iklan lain yang bertujuan untuk memberikan publisiti kepada terbitan tersebut, yang berkaitan dengan ajaran-ajaran atau pegangan pegangan di butiran (A);


(c) apa-apa terbitan ertinya apa-apa buku, majalah, pamplet, risalah atau apa-apa bahan bacaan lain, sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dengan apa-apa cara lain, dan apa apa bentuk keluaran ulangannya; dan termasuklah apa-apa filem iaitu sebuah wayang gambar, pita rakaman atau rekod, walau bagaimanapun jua dibuat, daripada suatu imej berdasarkan penglihatan yang mana adaah sebuah rekod yang mampu digunakan sebagai suatu alat untuk menayangkan rangkaian itu sebagai suatu gambar bergerak; rakaman audio iaitu apa-apa bahan termasuk piring piring hitam, fotografi, pita-pita rakaman, cakera laser dan cakera padat yang mana dirakamkan rakaman suara manusia untuk dibaca, dilihat atau didengar yang berkaitan dengan ajaran-ajaran atau pegangan-pegangan di butiran (A).


D. Oleh itu, orang Islam dilarang mengamalkan ajaran pegangan dan fahaman kumpulan Darul Arqam atau Al-Arqam, menjadi ahli, mengetuai, memimpin, memberikan ceramah, mengadakan kelas pendidikan dan pembelajaran, mengadakan aktiviti-aktiviti ekonomi, sosial, program persembahan kesenian dan kebudayaan dan aktiviti aktiviti lain yang bertujuan untuk menghidupkan dan mengembangkan kumpulan ini.


Orang-orang Islam adalah juga dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan filem, rakaman audio, pamplet, buku-buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah dan apa apa dokumen; menggunakan sebarang bentuk lambing, rajah atau tanda tanda yang boleh dikaitkan dengan Kumpulan Darul Arqam atau Al Arqam pada mana-mana harta alih atau tak alih.


E. Dan semua pihak dilarang memberikan kemudahan dan membantunya.

 

Klik disini untuk mencetak