Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Orang Bukan Islam
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke 1/2008 yang telah bersidang pada 5 Februari telah membincangkan mengenai Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Orang Bukan Islam. Setelah berbincang Jawatankuasa Fatwa telah memutuskan bahawa:
(i) Apa jua amalan dan pelakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan aqidah atau iktiqad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.
(ii) Walau bagaimanapun sekiranya amalan atau pelakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.
(iii) Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti email atau sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.
(iv) Orang Islam terutamanya pemimpin, orang-orang yang mempunyai kedudukan, pengaruh dan contoh tauladan tidak boleh sama sekali menyertai atau melakukan apa-apa aktiviti perayaan agama orang bukan Islam.
(v) Amalan kongsi raya antara orang Islam dan bukan Islam hendaklah diberhentikan kerana boleh mengelirukan umat Islam.
(vi) Mengadakan jamuan atau acara keramaian sempena hari raya dan hari-hari kebesaran semua kaum diharuskan.
Sumber: