Hukum Skim Cepat Kaya Dan Seumpamanya
(1) Hukum terhadap Skim Cepat Kaya adalah haram kerana cara beroperasinya yang mengandungi unsur-unsur judi, riba, gharar dan tadlis. Oleh itu, umat Islam dilarang daripada terlibat dengan skim ini.
(2) Pengharaman tersebut berdasarkan kepada nas-nas al-Quran dan hadith seperti berikut:
a. Sabda Rasulullah s.a.w.: Maksudnya:
'Penipuan di dalam neraka, dan sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari amalan kami maka dia ditolak'. (Riwayat Bukhari)
b. Sabda Rasulullah s.a.w.: Maksudnya:
'... Sesiapa yang menipu bukanlah dari kalangan kami'. (Riwayat At-Tarmizi)
c. Sabda Rasulullah s.a.w.: Maksudnya:
'Tidak boleh memudaratkan dan mendatangkan mudarat kepada orang lain'. (Riwayat Ibnu Majah)
d. Firman Allah S.W.T.: Maksudnya:
'Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu makan (gunakan) harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu'. (Surah an-Nisa" : 29)