JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Pengguguran Ke Atas Ibu Yang Mengidap (T.B)

Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 1994
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Terengganu
Keputusan
:

Mesyuarat mengambil keputusan sepertimana berikut:


i) Janin di dalam kandungan terbentuk dalam beberapa peringkat iaitu peringkat awal yang dipanggil nutfah iaitu dari satu hari hingga 40 hari. Peringkat kedua "alaqah iaitu dari 41 hari hingga 80 hari. Peringkat sesudah terbentuk yang dipanggil mudhghah iaitu berumur antara 81 hari hingga 120 hari. Peringkat keempat pula ialah selepas berumur 121 hari iaitu sesudah ditiup roh insaniah ke dalamnya (janin).


ii) Terdapat berbagai kecacatan yang berlaku pada janin, antaranya ialah kecacatan fizikal seperti pekak, buta mata, sumbing bibir, tiada otak, kepala besar dan sebagainya. Yang kedua kecacatan mental seperti kelembapan otak, kecacatan otak dan sebagainya. Bentuk kecacatan pula ialah kecacatan teruk dan kecacatan ringan.


iii) Menurut ijma" Fuqaha", adalah haram menggugurkan janin telah berumur 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh. Kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang bersangatan.


iv) Manakala menggugurkan janin yang berumur antara 1 hari hingga 40 hari adalah makruh, sekiranya tidak mendapat bahaya pada ibu dan mendapat persetujuan daripada kedua suami isteri.


v) Ijma" Fuqaha" juga berpendapat pengguguran janin berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu menghadapi cacat dan penyakit yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.


'Kanun Keseksaan' seksyen 312 di bawah tajuk 'menyebabkan keguguran' menyatakan bahawa 'barang siapa dengan sengaja menyebabkan seseorang perempuan yang hamil gugur hendaklah jika keguguran itu tidak disebabkan dengan suci hati bagi maksud menyelamatkan nyawa perempuan itu diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya, dan jika perempuan itu mengandung anak yang telah bersifat, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, dan bolehlah juga dikenakan denda.'


Mesyuarat telah mengambil keputusan bahawa adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.


Manakala soalan apakah berdosa doktor serta jururawat yang bertugas dalam melakukan pengguguran tersebut, kerana terpaksa melakukannya disebabkan tugas yang mesti dipikul mengikut undang-undang dan prosedur perubatan dan mendapat persetujuan daripada ibu yang mengandung tersebut.


Mesyuarat mengambil keputusan ia berkait rapat dengan hukum pengguguran, samada pengguguran itu hukumnya haram atau sebaliknya.

Klik disini untuk mencetak