JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Kaedah Perubatan Syarikat Jamzibar Jaya Enterprise

Kategori: Akidah
Tahun: 2011
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Melaka
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 3/2011 yang bersidang pada 4 Sya’aban 1432H bersamaan 5 Julai 2011 telah membincangkan mengenai Kaedah Perubatan Syarikat Jamzibar Jaya Enterprise. Mesyuarat bersetuju memutuskan seperti berikut :

 

i. Kaedah perubatan atau rawatan yang dilakukan oleh Tuan Haji Raja Harun dan para pembantunya daripada Syarikat Jamzibar Jaya Enterprise didapati meragukan dan mengandungi unsur-unsur yang bercanggah dengan syariat dan akhlak Islam sepertimana berikut:

 

a) Menggunakan najis daripada darah binatang (burung merpati putih) yang disembelih tanpa mengenalpasti tahap darurat penggunaannya serta tiada perakuan mana-mana pihak yang berautoriti mengenai tahap keselamatan dan keberkesanannya sebagai ubat. Terdapat hadis daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada ubat yang kotor (Hadis riwayat Abu Daud dan Imam Ahmad);

 

b) Tujuan atau qasad menyembelih binatang tersebut di atas badan pesakit dikhuatiri mengandungi unsur syirik dan menyebabkan ia tidak halal di makan;

 

c) Mendedahkan aurat pesakit di tempat awam;

 

d) Berlaku sentuhan tanpa berlapik antara pesakit dan perawat berlainan jantina yang bukan mahram semasa rawatan; dan

 

e) Menggunakan bacaan-bacaan yang tidak dapat dikenalpasti.

 

ii. Justeru itu, pengamal rawatan tersebut hendaklah ditegah daripada menjalankan rawatan sepertimana yang dinyatakan di para (i) dan lain-lain kaedah yang bercanggah dengan hukum syarak dan perlu dinasihati supaya mematuhi Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam yang dikeluarkan oleh JAKIM jika ingin meneruskan aktiviti rawatannya.


 

 

Klik disini untuk mencetak