JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Penetapan Had Selisih Arah Qiblat Yang Dibenarkan Bagi Mihrab Masjid/Surau Yang Telah Dibina Dan Penduduk Yang Berada Jauh Dari Makkah

Kategori: Ibadah
Tahun: 2010
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Melaka
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka telah membincangkan mengenai Penetapan Had Selisih Arah Qiblat Yang Dibenarkan Bagi Mihrab Masjid/Surau Yang Telah Dibina Dan Penduduk Yang Berada Jauh Dari Makkah. Mesyuarat bersetuju memutuskan seperti berikut :

 

a) Menerimapakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-79 pada tahun  2007 seperti berikut :

 

i. Arah menghadap qiblat merupakan perkara ijtihadi dan zanni. Penentuan had tidak melebihi 3 darjah bagi pesongan mihrab yang dibenarkan tidak perlu ditetapkan.

ii. Oleh itu, Muzakarah memutuskan bahawa had berpaling yang dibenarkan dari qiblat tidak perlu difatwakan, tetapi boleh dijadikan sebagai garis panduan dalam pembinaan masjid dan surau baru.

 

b) Menggunapakai kaedah jihah Ka’abah dalam menangani isu arah qiblat yang terpesong bagi mihrab masjid/surau dan orientasi tanah perkuburan Islam yang telah digunakan semenjak sekian lama. Kaedah ini adalah berdasarkan pendapat Jumhur Ulama’ yang berhujah dengan hadis riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmizi yang bermaksud “apa yang di antara timur dan barat adalah qiblat”.

 

c) Penetapan arah qiblat berdasarkan jihah membenarkan had berpaling yang lebih luas daripada qiblat sebenar berbanding penetapan berdasarkan ‘ain qiblat atau Kaabah.

 

d) Masjid/surau atau tanah perkuburan Islam yang telah digunakan sejak sekian lama dan didapati terpesong dari ‘ain kiblat (Kaabah) tetapi masih menghadap jihah Kaabah adalah dimaafkan dan tidak perlu mengubah kedudukan karpet, mehrab dan orientasi masjid/surau dan kedudukan batu nesan di tanah perkuburan yang berkenaan.

 

e) Bagi pembinaan masjid/surau dan pembukaan tanah perkuburan Islam yang baru di Negeri Melaka, pengukuran arah qiblat hendaklah dibuat berdasarkan kedudukan ‘ain Kaabah secara dzan dengan menggunakan instrumen berkejituan tinggi dan disahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Melaka bagi memastikan ketepatannya.

Klik disini untuk mencetak