JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Permohonan Mendirikan Solat Jumaat Di Masjid Taman Keris Laksamana Penjara Sungai Udang Melaka

Kategori: Ibadah
Tahun: 2010
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Melaka
Keputusan
:

Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa telah sebulat suara bersetuju memutuskan beberapa perkara berikut:

 

  1. Memberi status Masjid Institusi kepada Masjid Taman Keris Laksamana Penjara Sungai Udang Melaka;
  2. Membenarkan solat Jumaat diadakan di masjid tersebut kerana wujud keperluan yang mendesak. Bagaimanapun kebenaran ini tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:
  3. Telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan kebenaran bertulis daripada Majlis Agama Islam Melaka terlebih dahulu;
  4. Kebenaran hanya terhad untuk mendirikan solat Jumaat sahaja tanpa melibatkan pewujudan kariah baru;
  5. Masjid ini masih kekal bernaung di bawah Masjid Kariah Sungai Udang Melaka di mana segala urusan hal ehwal hukum syarak seperti pernikahan, kematian, zakat fitrah, kenduri kendara dan sebagainya hendaklah dirujukkan kepada pegawai-pegawai masjid kariah berkenaan;
  6. Suatu jawatankuasa hendaklah dibentuk bagi mengurus dan mentadbir masjid ini di mana keanggotaannya hendaklah terdiri daripada wakil-wakil penduduk taman-taman perumahan yang berhampiran dan wakil-wakil agensi yang berkaitan;
  7. Kewujudan masjid institusi ini dan ahli-ahli jawatankuasa serta pegawai syarak yang dilantik hendaklah didaftarkan kepada Majlis Agama Islam Melaka;
  8. Pegawai syarak yang dilantik perlu mengikuti kursus dan temuduga yang dijalankan oleh pihak berkuasa agama;
  9. Pegawai syarak berkenaan bertanggungjawab memastikan seruan azan dikumandangkan setiap kali masuk waktu solat, memimpin pelaksanaan solat Jumaat, solat waktu dan lain-lain solat sunat yang dituntut berjemaah, serta melaksanakan kegiatan-kegiatan pengimarahan masjid yang disuruh, disyorkan atau dibenarkan oleh Islam dari semasa ke semasa tanpa mempunyai bidangkuasa lain;
  10. Pelaksanaan khutbah dan solat Jumaat hendaklah mengikut ketetapan hukum syarak dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama;
  11. Pihak Majlis Agama Islam Melaka tidak bertanggungjawab untuk memberi apa-apa elaun kepada pegawai dan jawatankuasa yang dilantik;
  12. Pihak pengurusan Penjara Sungai Udang adalah bertanggungjawab ke atas segala tanggungan dan kos berkaitan pengurusan masjid ini;
  13. Pihak pengurusan Penjara Sungai Udang hendaklah membenarkan para jemaah daripada penduduk sekitar untuk keluar masuk ke masjid tersebut bagi mendirikan solat Jumaat;
  14. Pihak pengurusan Penjara Sungai Udang adalah bertanggungjawab memastikan penyampaian khutbah dan solat Jumaat dapat dilaksanakan di masjid berkenaan secara berterusan pada setiap hari Jumaat sebagai menghormati kefardhuan Jumaat dan memelihara syiar Islam; dan
  15. Majlis Agama Islam Melaka boleh pada bila-bila masa menarik balik status dan kebenaran yang diberikan ini jika pihak pengurusan Penjara Sungai Udang Melaka tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat yang dinyatakan atau wujud keperluan untuk berbuat demikian.
Klik disini untuk mencetak