JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Permohonan Mendirikan Solat Jumaat Di Surau Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MICET, Taboh Naning, Alor Gajah Melaka

Kategori: Ibadah
Tahun: 2010
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Melaka
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 3/2010 yang bersidang pada 15 Zulkaedah 1431H bersamaan 13 Oktober 2010 telah membincangkan mengenai Permohonan Mendirikan Solat Jumaat Di Surau Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MICET, Taboh Naning, Alor Gajah, Melaka dan bersetuju memutuskan seperti berikut:

 

a) Memberi status Surau Jumaat kepada Surau Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MICET, Taboh Naning, Alor Gajah, Melaka;

 

b) Membenarkan solat Jumaat diadakan di surau tersebut kerana wujud kesulitan dan keperluan yang mendesak dengan bersandarkan kepada satu Qaul dalam Mazhab Syafi’e yang mengharuskan orang-orang yang bermukim di satu tempat dan bilangannya lebih daripada 40 orang untuk mendirikan Jumaat. Bagaimanapun kebenaran ini tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut :

  1. Telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan kebenaran bertulis daripada Majlis Agama Islam Melaka;
  2. Kebenaran hanya terhad untuk mendirikan solat Jumaat sahaja tanpa mengubah status surau kepada masjid;
  3. Surau ini bernaung di bawah Masjid Kariah Taboh Naning, Alor Gajah, Melaka di mana segala urusan hal ehwal hukum syarak seperti pernikahan, kematian, zakat fitrah, kenduri kendara dan sebagainya hendaklah dirujukkan kepada pegawai-pegawai masjid kariah berkenaan;
  4. Suatu jawatankuasa hendaklah dibentuk bagi mengurus dan mentadbir surau institusi ini;
  5. Kewujudan surau institusi ini dan ahli-ahli jawatankuasa serta pegawai syarak yang dilantik hendaklah didaftarkan kepada Majlis Agama Islam Melaka;
  6. Pegawai syarak yang dilantik perlu mengikuti kursus dan temuduga yang dijalankan oleh pihak berkuasa agama;
  7. Pegawai syarak berkenaan bertanggungjawab memastikan seruan azan dikumandangkan setiap kali masuk waktu solat, memimpin pelaksanaan solat Jumaat, solat waktu dan lain-lain solat sunat yang dituntut berjemaah serta melaksanakan kegiatan-kegiatan pengimarahan surau yang disuruh, disyorkan atau dibenarkan oleh Islam dari semasa ke semasa tanpa mempunyai bidangkuasa lain;
  8. Pelaksanaan khutbah dan solat Jumaat hendaklah mengikut ketetapan hukum syarak dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama;
  9. Pihak Majlis Agama Islam Melaka tidak bertanggungjawab untuk memberi apa-apa elaun kepada pegawai syarak dan jawatankuasa yang dilantik;
  10. Pihak pengurusan UniKL MICET bertanggungjawab ke atas segala tanggungan dan kos berkaitan pengurusan surau ini; 
  11. Pihak pengurusan UniKL hendaklah membenarkan para jemaah daripada mana-mana institusi berhampiran untuk keluar masuk ke surau tersebut bagi mendirikan solat Jumaat;
  12. Mana-mana orang Islam bertaraf pemastautin yang tinggal berhampiran UniKL MICET tidak dibenarkan menunaikan solat Jumaat di surau tersebut sekiranya ia mengurangkan jumlah jemaah yang diperlukan untuk mengesahkan solat Jumaat di masjid kariah Taboh Naning iaitu sekurang-kurangnya 40 orang lelaki dewasa bertaraf pemastautin;
  13. Pihak pengurusan UniKL MICET bertanggungjawab memastikan penyampaian khutbah dan solat Jumaat dapat dilaksanakan di surau berkenaan secara berterusan pada setiap hari Jumaat meskipun bilangan jemaah tidak sampai 40 orang sebagai menghormati kefardhuan Jumaat dan memelihara syiar Islam;
  14. Sekiranya solat Jumaat didirikan dengan bilangan jemaah (pemastautin atau pemukim) tidak sampai 40 orang, maka perlu diiringi dengan solat Zohor secara berjemaah selepas daripada itu; dan 
  15. Majlis Agama Islam Melaka boleh pada bila-bila masa menarik balik status dan kebenaran yang diberikan ini jika pihak pengurusan UniKL MICET tidak mematuhi mana-mana syarat yang dinyatakan atau wujud keperluan untuk berbuat demikian.
Klik disini untuk mencetak