Kursus ESQ Leadership Training Dan Fahaman Yang Seumpama Dengannya
(a) Ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh ESQ Leadership Training anjuran Ary Ginanjar Agustian dan sebarang ajaran yang seumpamanya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam; kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariah Islam. Ciri-ciri penyelewengan tersebut adalah seperti berikut:-
(i) Mendukung fahaman Libralisme : iaitu memahami/mentafsir nas-nas agama (al-Quran dan al- Sunnah) secara bebas, dan fahaman pluralisme agama; iaitu fahaman yang mengajarkan semua agama adalah sama dan benar. Kedua-dua fahaman ini adalah sesat dan boleh membawa kepada kekufuran.
(ii) Mendakwa bahawa para Nabi mencapai kebenaran melalui pengalaman dan pencarian. Ini bercanggah dengan akidah Islam tentang Nabi dan Rasul. Menurut akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah, kenabian dan kerasulan adalah semata-mata pilihan Allah s.w.t. (al-Isthifaiyyah), dan bukan sesuatu yang boleh diusahakan (al-Kasbiyyah).
(iii) Mencampuradukkan ajaran kerohanian bukan Islam dengan ajaran Islam, ESQ adalah hasil penemuan seorang Yahudi, Danah Zohar, manakala Got Spot adalah hasil kajian seorang Hindu VS Ramachandran. Kedua-dua penemuan ini disahkan dengan ayat al-Quran (al-Haj ayat 46).
(iv) Menekankan konsep “suara hati” atau “conscience” sebagai sumber rujukan utama dalam menentukan baik dan buruk sesuatu perbuatan. Konsep suara hati “conscience” adalah ajaran paling suci dalam agama Kristian. The Oxford Dictionary of World Religión menyebut : “In the main forms of Christianity, conscience is the absolutely inviolable and sacrosanct centre of the person as human as responsible for her or his decisions”. Konsep suara hati juga merupakan ajaran agama Hindu seperti yang dijelas oleh Swami Vivekananda: “ The Atman is the Holy Ghost of the Biblicle Trinity, and the purpors of all religions is the make men heard “the still small voice’ within them”. Menurut Imam Abu al-Abbas pendapat demikian adalah zindik dan kufur.
(v) Menjadikan logik sebagai sumber rujukan utama. Ini bertentangan dengan akidah Islam yang menetapkan bahawa al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan utama.
(vi) Mengingkari mukjizat dan menganggapnya tidak dapat diterima oleh akal dan tidak sesuai dengan zaman sekarang yang serba logik. Mengingkari mukjizat adalah kufur dengan ijma’ ulama’; kerana ia bermakna mengingkari nas-nas al-Quran dan Hadis Mutawatir yang mensabitkan mukjizat bagi para Nabi A.S.
(vii) Menggunakan Kod 19 rekaan Rashad Khalifa untuk mentafsir al-Quran. Rashad Khalifa mengaku dirinya sebagai rasul dan membawa agama baru yang dinamakan “submission”. Teori Kod 19 dianggap lebih tinggi daripada al-Quran kerana mengikut teori ini, ayat-ayat al-Quran perlu dibuang atau ditambah bagi menyesuaikan dengan Kod 19.
(viii) Menyamakan bacaan al-Fatihah sebanyak 17 kali sehari oleh orang-orang Islam dengan amalan Bushido oleh orang-orang Jepun yang berteraskan ajaran Buddha.
(ix) Mendakwa bahawa kekuatan luar biasa seperti mukjizat boleh berlaku melalui rumus Zero Mind Process (ZMP). Dengan rumus ZMP ini ESQ mengkiaskan bahawa mukjizat Nabi Musa a.s. diselamatkan daripada Fir’aun boleh juga berlaku kepada orang lain seperti yang berlaku kepada juruterbang Kapten Abdul Razak. Kefahaman mukjizat seperti ini ádalah merupakan ajaran agama Hindu seperti yang diterangkan oleh Swami Vivekananda : “When Jesús healed, they called it a miracle”. What is a miracle? A supernatural even says the dictionary. “Applied Raja Yoga”, says the Yogi. Just because you don’t understand it, you call it miracle. We know what its about. Its natural to us”.
(x) Mentafsir makna kalimah Syahadah dengan “triple one”. Ini adalah tafsiran bid’ah dan sesat. Dalam konteks akidah “triple one” digunakan oleh Kristian untuk menghuraikan Konsep Trinity. Buku “Christianity For Dummies”, ketika menghuraikan konsep ini menyatakan “The Trinity: How 1+1+1 Equals 1. Christianity says that God is Trinity – one God expressed in three beings. The term trinity means : “three-oneness”.
(b) Mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (a).
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk pautan dibawah :
http://efatwa.muftiwp.gov.my/fatwa/794019e8e62a4180405d3a343e506d7f?