JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Arah Kiblat Dan Cadangan Mengubah Kedudukan Saf Masjid Tedong Yang Terpesong Kepada Arah Kiblat Sebenar

Kategori: Lain-lain
Tahun: 2013
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Melaka
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil. 1/2013 yang bersidang pada 26 Rabi’ul Awwal 1434H bersamaan 7 Februari 2013 telah membincangkan mengenai Kajian Semula Isu Arah Kiblat Dan Cadangan Mengubah Kedudukan Saf Masjid Tedong Yang Terpesong Kepada Arah Kiblat Sebenar. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut :


1. Isu penentuan arah kiblat bagi masjid/surau dan penduduk yang berada jauh dari Makkah merupakan perkara yang diperselisihkan oleh para Ulama. Ada yang berpendapat mesti menghadap ‘ain Kaabah secara dzan dan ada yang berpendapat cukup sekadar menghadap jihah Ka’abah. Bagi negeri Melaka, Jawatankuasa Fatwa berpendirian bahawa mana-mana masjid/surau yang telah dibina dan didapati terpesong dari arah kiblat berdasarkan ‘ain Kaabah secara dzan adalah dimaafkan selagimana ia masih lagi menghadap kepada jihah Kaabah berdasarkan pendapat jumhur ulama dan beberapa qawl dalam Mazhab Syafi’ie. Bagaimanapun, pihak masjid/surau berkenaan dibenarkan untuk mengubah kedudukan saf/sejadah/karpet kepada arah kiblat yang ditentukan berdasarkan kedudukan ‘ain Kaabah secara dzan tanpa mengubah orientasi dan struktur bangunannya.


2. Arah kiblat Masjid Tedong yang disemak menggunakan peralatan teknikal dan didapati terpesong sebanyak 12 darjah hendaklah disemak sekali lagi berdasarkan kaedah pengukuran bayang matahari berada tepat di atas Ka’abah semasa peristiwa istiwa a’zam pada 28 Mei atau 16 Julai. Integrasi kedua-dua kaedah tradisional dan moden ini diharap dapat memberi keputusan ijtihad yang lebih jitu dalam mengesahkan kedudukan sebenar ‘ain kiblat (Kaabah) secara dzan bagi sesebuah masjid/surau yang disyaki terpesong.


3. Sekiranya pesongan tersebut dapat disahkan melalui kaedah berkenaan maka pihak masjid dibenarkan mengubah kedudukan saf/sejadah/karpet masjid kepada arah kiblat yang diperolehi hasil daripada semakan itu tanpa perlu mengubah orientasi dan struktur bangunannya.

Klik disini untuk mencetak