JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Pembinaan Pusat Down Sindrom Di Atas Tanah Wakaf Atau Baitul Mal

Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 2011
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Kelantan
Keputusan
:

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan yang bersidang di Bilik Mesyuarat Tingkat 3 Majlis Agama Islam Kelantan pada 24 Februari 2011 bersamaan 21 Rabiulawal 1432H telah membincangkan isu Mengenai Hukum Pembinaan Pusat Down Sindrom Oleh Lions Club Di Tanah Wakaf Atau Baitul Mal Kawalan Majlis Agama Islam Kelantan dan telah bersetuju membuat keputusan seperti berikut:

 

Setelah membincangkan perkara ini, mesyuarat bersetuju menerima resolusi perbincngan pre-counsil. Mesyuarat Khas Jemaah Ulama’ bilangan 1/2006 seperti berikut:


1.   Program-program kebajikan yang ingin dilaksanakan dengan tujuan untuk kemaslahatan umat Islam wajar disokong dan dibantu oleh Majlis Agama Islam Kelantan kerana sudah menjadi kewajipan Majlis Agama Islam Kelantan untuk menganjur, mendorong, membantu mengusaha kemajuan dan kesejahteraan sosial dan ekonomi masyarakat Islam dalam negeri ini menurut hukum syara’ sebagaimana yang termaktub dalam Enakmen Majlis Agama Islam Kelantan bilangan 4 tahun 1994. Oleh itu cadangan penubuhan Pusat Down Sindrom wajar disokong dan dibantu oleh Majlis Agama Islam Kelantan kerana bilangan kanak-kanak Islam mendapat faedahnya melebihi 95 peratus daripada keseluruhan kanak-kanak di negeri Kelantan.

 

2. Penggunaan tanah wakaf untuk tujuan ini juga dibolehkan oleh syara’ selagi mana program ini tidak dicampur adukkan dengan unsur-unsur yang bercanggah dengan prinsip syara’.

 

3. Walaubagaimanapun dalam usaha untuk membuat kebajikan, Majlis Agama Islam Kelantan seboleh-boleh tidak mendedahkan diri kepada fitnah dan tuduhan liar daripada masyarakat Islam supaya emej dan kredibiliti Majlis Agama Islam Kelantan dimata umum tidak terjejas.

 

4. Kerjasama yang ingin dibuat dengan Lions Club Malaysia dikuatiri akan membuka ruang kepada fitnah dan tohmahan daripada masyarakat Islam kerana setelah dibuat kajian tentang isu Lions Club Antarabangsa didapati terdapat banyak penulis daripada ulama-ulama timur tengah seperti Doktor Yusof Al-Qaradhawi, Doktor Ahmad Salibi, Sheikh Ali Jadul Haq, Fathi Yakan dan lain-lain lagi yang kesemuanya secara terbuka telah mengaitkan pertubuhan Lions Club antarabangsa dengan pertubuhan Zionis. Bahkan persidangan Majma’ ai-Fiqhi kali pertama yang bertarikh 10 Ramadhan 1398H bertempat di Makkah A-Mukarramah telah membuat ketetapan bahawa pertubuhan Fremanson, Lions dan Rotary adalah pertubuhan yang bercanggah dengan prinsip Agama Islam.

 

5. Walaupun Lions Club Malaysia khususnya cawangan Kelantan tidak berkaitan dengan Lions Club antarabangsa dari segi pengurusan dan pelaksanaan program, namun ia masih mempunyai perhubungan dari segi penjenamaan. Oleh itu, dikuatiri kerjasama antara Majlis Agama Islam Kelantan dengan Lions Club ini akan menimbulkan. Imej Majlis Agama Islam Kelantan pada kaca mata umat Islam.

 

6. Sebagai jalan alternatif kepada Majlis Agama Islam Kelantan bagi melaksanakan program ini, disyorkan agar Majlis Agama Islam Kelantan sendiri mengepalai projek pembinaan pusat Down Sindrom di Negeri Kelantan dan peruntukkan untuk melaksanakan projek ini boleh diambil daripada wang zakat. 

Klik disini untuk mencetak