Binaan Di Atas Tanah Perkuburan
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang bersidang pada 25 Mei 2010 telah membincangkan mengenai Binaan Di Atas Tanah Perkuburan. Mesyuarat memutuskan bahawa tetap berpegang dengan keputusan yang telah dibuat pada 26 Mei 1976 berkaitan hukum membuat binaan di atas kubur iaitu:-
i) Makruh hukumnya dibuat binaan di dalam atau di atas kubur yang tanah kubur itu dimiliki oleh orang yang membuat binaan tersebut. Manakala hukumnya harus jika membuat binaan yang bertujuan menyelamatkan kubur itu dari digali atau dikorek oleh binatang buas atau diruntuh oleh banjir atau seumpamanya.
ii) Haram hukumnya dibuat binaan di dalam atau di atas kubur apa jua jenis dan bentuk binaan yang kekal selepas hancur mayat dengan tiada apa-apa tujuan seperti yang tersebut di atas sekiranya kubur itu di dalam tanah yang disediakan untuk perkuburan atau yang diwakaf untuk perkuburan dan wajib dirobohkan kerana binaan kekal wujudnya selepas hancur mayat ia menghalang orang-orang Islam daripada menggunakan tempat perkuburan itu dengan tiada apa-apa sebab yang diluluskan oleh syarak dan meruntuhkan itu hendaklah dengan kebenaran kadi atau kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Kedah kerana dikhuatiri berlaku perbalahan, pergaduhan dan sebagainya. Batu-batu dan perkakas-perkakas binaan menjadi hak milik waris-warisnya dan dipulangkan kepada mereka. Jika tiada waris atau waris enggan mengambilnya maka menjadi hak kepada baitulmal.
Wallahua'alam