Pemikiran Liberal Dan Implikasinya Kepada Islam Di Malaysia
Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak Kali Kesepuluh, yang bersidang pada 25 Syaaban 1427H/ 18 September 2006M telah membincangkan mengenai Hukum Pemikiran Liberal Dan Implikasinya Kepada Islam Di Malaysia (Sarawak). Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:
Gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berikut :
Aspek Akidah
a. Berpegang kepada Konsep Pluralisme
Konsep Pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respons yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.
b. Akal Manusia Adalah Wahyu
Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.
c. Meragui Ketulinan Al-Quran
Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab.
Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah mesej budaya Arab.
Aspek Syariah
a. Mempersoalkan Metodologi Pentafsiran Al-Quran dan Al-Hadith
Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau metodologi pentafsiran al-Quran yang digunapakai kini. Dengan slogan "membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran", aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.
b. Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat
Aliran pemikiran ini juga berpegang 'membuka dan membebaskan' tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.
c. Mempertikaikan Kriteria Dan Akhlak Kenabian
Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra' dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.
d. Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam
Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-Tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al-Hadith, al-Jarah wa al-Ta'dil dan sebagainya yang telah secara Ijmak diterima sebagai metod dalam disiplin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qatíe dan hukum yang tidak qatíe menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam.
e. Sikap Terhadap Hukum
Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum Fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.
Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan tersebut, Mesyuarat bersetuju menerima keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke 74 pada 25 Julai 2006 bahawa:
"Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam."