Kedudukan Senaman Yoga Di Kalangan Umat Islam
Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak Kali Ke Lima Belas, yang bersidang pada 29 Zulkaedah 1429H/ 27 November 2008M telah membincangkan mengenai Kedudukan Senaman Yoga Di Kalangan Umat Islam (Sarawak). Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:
"Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, maka senaman yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan dan pemujaan bagi tujuan tertentu adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah umat Islam. Oleh itu, apa jua jenis atau bentuk senaman yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. Sekiranya senaman yang dibuat tidak sama seperti posisi di dalam yoga atau menambah posisi yang lain, tidak disertai dengan niat, tidak mengikut waktu ibadah agama Hindu dan tiada mantera, maka hukumnya adalah harus."