Penyebaran Risalah Yang Mengandungi Ajaran Yang Bercanggah Dengan Islam Iaitu " Rasulullah saw Pembawa Rahmat "
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 4-5 November 2009M bersamaan 16-17 Zulkaedah 1430H kali 181 memutuskan keputusan bahawa :
” Penyebaran Risalah Yang Mengandungi Ajaran Yang Bercanggah Dengan Islam Iaitu ”Rasulullah SAW Pembawa Rahmat” adalah HARAM dan menyeleweng dari ajaran Islam sebenar berdasarkan beberapa penyalahgunaan di dalamnya seperti :-
1) Membiarkan sahaja individu orang islam yang ingin murtad.
Sedangkan orang islam sebenarnya tidak boleh membiarkan orang islam murtad kerana ianya bersalahan dengan Firman Allah swt :
Terjemahan: Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. (al-Mujadalah : 22)
2) Umat Islam tidak perlu menentang kezaliman sebaliknya hanya menunggu kedatangan Imam Mahdi untuk kemenangan.
Allah SWT berfirman dalam kitabnya :
Terjemahan : Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. (ali- Imran : 19)
Umat Islam wajib berpegang dengan ayat ini, meyakininya dan memahaminya sekaligus mempertahankan agama suci di sisi Allah ini dengan tegas, bukan hanya dengan berserah tanpa usaha mempertahankannya.
3) Berpendapat bahawa Nabi Isa telah mati seperti orang biasa selepas peristiwa salib dan diangkat oleh Allah ke langit seterusnya menyamakan peristiwa itu sama dengan fahaman ajaran kristian iaitu Isa sebagai anak tuhan.
Allah telah berfirman dalam al-Quran surah An-Nisa’ ayat 157:
Terjemahan : tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa).
Manakala mereka yang beranggapan Nabi Isa adalah anak tuhan dihukumkan kafir kerana nyata bersalahan dengan firman Allah dalam surah al-Ikhlas yang menyatakan :
Terjemahan : Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;(1) "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;(2) "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;(3) "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".(4)
(al-Ikhlas : 1-4)
4) Menyamakan Imam Mahdi sebagai Nabi Isa a.s kerana pemahaman Baginda SAW mengenai sebutan Isa Ibnu Maryam itu merujuk kepada kedatangan seorang utusan tuhan yang memikul tugas yang sama seperti Nabi Isa a.s. :
Hadis mengenai Imam Mahdi adalah hadis mutawatir dimana ia diriwayatkan oleh 33 orang sahabat. Walaupun dalam soheh Bukhari dan Muslim tidak dijelaskan tentang Imam Mahdi secara terang dimana ia hanya disebut sebagai imam dan pemimpin yang soleh tetapi dalam banyak hadis daripada perawi yang lain seperti Ibnu Majah, Tirmizi, abu Daud dan selain mereka maka ia disebut secara jelas tentang Imam Mahdi melalui hadis soheh dengan sanad yang soheh.
Nabi Isa a.s dan Imam Mahdi adalah 2 orang yang berlainan.
Turunnya Nabi Isa a.s meneruskan syariat Nabi Muhammad SAW bukan membawa syariat baru atau lama.
Nabi Isa diturunkan untuk memberitahu bahawa Nasrani adalah salah.
Adanya unsur memohon pertolongan dan menyeru kepada selain Allah dalam penggunaan ayat bahasa arab yang tidak difahami oleh kebanyakan orang awam.