Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah Bil. 2/2009 telah bersidang pada 13-14 Mei 2009 Miladiah / 18-19 Jamadilawal 1430 Hijriah, bertempat di Bilik Persidangan, Balai Cerap al-Biruni Negeri Sabah, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah bagi membincangkan mengenai Hukum Pembinaan Monumen Peringatan Bagi Angkatan Tentera Malaysia dan memutuskan seperti berikut:
- Pembinaan monumen oleh pihak ATM atau mana-mana pihak yang hanya mengandungi ukiran nama dan diukir bentuk selain daripada daripada patung manusia dan haiwan adalah diharuskan.
- Nama yang dicadangkan seperti Dataran Pahlawan, Medan Peringatan atau sebagainya boleh diterima pakai bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham umat Islam tentang istilah monumen / tugu.
- Acara-acara yang telah difatwakan haram dan yang bertentangan dengan Syarak tidak dibenarkan di hadapan monumen / tugu ( kawasan dataran ) tersebut.
- Manakala acara-acara yang dibenarkan oleh Syarak seperti doa selamat, bacaan Yasin, tahlil dan lain-lain tidak boleh dilakukan di hadapan monumen / tugu (kawasan dataran ) sebaliknya dilakukan di tempat yang lain seperti dalam bangunan yang berhampiran atau di masjid dan sebagainya.