Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-1/2009 yang bersidang pada 27 Februari 2009 telah membincangkan mengenai Hukum Penyaluran Wang Syubhah Ke Dalam Akaun Baitulmal. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:
Didalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian,penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut :
- Diserah kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas, dan seumpamanya;
- Diserah kepada golongan fakir ; atau
- Jika harta tersebut harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.
http://mufti.pahang.gov.my/index.php/perkhidmatan/bahagian-fatwa/keputusan-fatwa/26-keputusan-fatwa-2009/102-hukum-penyaluran-wang-syubhah-ke-dalam-akaun-baitul-mal