(i) Amalan, fahaman dan ajaran Panjilangit yang dibawa oleh Mohd Jaffar bin Robani (Nombor Kad Pengenalan 670630-01-5657) dan pengikutnya didapati menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar kerana mengandungi unsur-unsur yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah dan syariah.
(ii) Antara ciri-ciri penyelewengan fahaman dan ajaran yang dibawa oleh Mohd Jaffar bin Robani adalah membuat dakwaan seperti berikut:
(a) mengakui dirinya benar-benar sempurna;
(b) meminta pengikut agar beriman dengan dirinya;
(c) dirinya sebagai pengantara Malaikat Jibrail;
(d) dirinya boleh mentafsir dosa orang yang datang berubat;
(e) dirinya diutuskan untuk membunuh Dajjal;
(f) dirinya sebagai pemegang takdir pembinasa Dajjal;
(g) dirinya itu adalah peringatan terakhir untuk alami ini; dan
(h) kiamat akan berlaku pada 21 Disember 2012.
(iii) Setiap orang Islam adalah dilarang untuk mengajar, mempelajari, mengamalkan atau menyebarkan ajaran dan fahaman tersebut dalam apa-apa jua bentuk dan cara.
(iv) Orang Islam di mana-mana jua berada, yang telah mengamalkan ajaran dan fahaman Panjilangit hendaklah segera bertaubat dan meninggalkan ajaran tersebut serta memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wata’ala.