JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Pelaksanaan Ibadah Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi

Kategori: Ibadah
Tahun: 2014
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Negeri Sembilan
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 03/2014-1435H yang bersidang pada 24 April 2014 bersamaan 24 Jumada al-Akhirah 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-79 berkenaan Hukum Pelaksanaan Ibadah Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi dengan sighah seperti berikut :


  1. Pesakit yang menggunakan beg kolostami dikategorikan sebagai mereka yang mengalami masalah dharurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Oleh itu, mereka tidak perlu mengosong atau membersihkan beg kolostami setiap kali berwudhu' atau menunaikan solat.
  2. Pesakit hendaklah mengambil wudhu’ setiap kali mengerjakan solat fardu. Hal ini kerana wudhu’ yang diambil hanya untuk mengharuskan solat, bukan untuk mengangkat hadath. Kedudukan pesakit adalah sama seperti orang yang sentiasa berhadath (الحدث دائم).


 Keterangan/Hujah: 


  1. Istilah “Kolostomi” merujuk kepada keadaan sebahagian usus besar (colon) di dalam abdomen yang dibuka dan pembukaannya itu disalurkan ke bahagian dinding abdomen dan dilekatkan pada kulit. Hujung usus ke bahagian dubur (rectum) tidak lagi berfungsi seperti biasa. Beg Kolostomi dipasang pada abdomen yang ditebuk di mana usus keluar daripada dinding abdomen tersebut. Pengeluaran najis tidak akan dapat dikawal sama sekali oleh pesakit. 
  2. Kebanyakan pesakit kolostomi merasa was-was untuk menunaikan amalan fardu ain terutamanya solat. Persoalan yang ditimbulkan adalah bagaimana harus mereka mengurus kolostomi mereka semasa mengambil wudhu’ dan semasa menunaikan fardhu solat. Adakah mereka perlu mengosongkan pundi kolostomi mereka setiap kali mengambil wudhu’ atau untuk menunaikan solat. Adakah wudhu’ akan terbatal dengan sebab keluar najis tanpa boleh dikawal ke dalam pundi kolostomi. 
  3. Isu batal wudhu’ apabila keluar sesuatu menerusi salah satu daripada dua kemaluan seperti yang dibahaskan oleh para ulama’ adalah dalam konteks orang yang sihat. Bagi yang berpenyakit atau mengalami masalah keluar sesuatu di luar kawalan, Islam memberikan kaedah penyucian dan pelaksanaan ibadah kerana mereka dianggap orang yang dalam keuzuran. 
  4. Masalah kolostomi berbeza dengan masalah sulus al-bawl kerana kebersihannya lebih terjamin. Oleh itu dari sudut hukum, ia tidak boleh diqiaskan kepada mereka yang mengalami sulus al-bawl.
  5.  Memandangkan pengeluaran najis bagi mereka yang mengalami masalah kolostomi tidak boleh dikawal, mereka dianggap berada dalam keadaan dharurat yang tidak terikat dengan taklif syarak dalam beberapa aspek ibadah. Mereka juga tidak dianggap sebagai menanggung najis dan boleh melaksanakan semua ibadat.
  6. Pesakit-pesakit kolostomi dibolehkan mengambil sekali wudhu' untuk semua ibadah yang hendak dilaksanakan sekiranya wudhu’ tersebut tidak terbatal. Tetapi sekiranya tiada kesukaran bagi mereka untuk memperbaharui wudhu’, ia adalah disunatkan.
  7. Islam adalah agama yang memberi kemudahan. Oleh itu pesakit tidak wajar disyaratkan untuk mengosong atau membersihkan beg kolostomi setiap kali berwudhu’ kerana ia akan menyukarkan mereka melakukan ibadah.


Status Pewartaan : Tidak diwartakan

 

 

Klik disini untuk mencetak