JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Fatwa Mengenai Perintah Istitabah

Kategori: Akidah
Tahun: 2013
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Pulau Pinang
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 30 Mei 2012 telah membincangkan mengenai Perintah Istitabah dan memutuskan seperti berikut:


1. Seseorang yang diertikan sebagai Islam, tetapi mengamalkan cara hidup bukan Islam seperti menyembah berhala atau telah melaksanakan “deed poll” (pengakuan menolak Islam) tidak boleh dihukum sebagai murtad atau disifatkan telah murtad melainkan setelah memperoleh suatu perintah bagi maksud itu daripada Mahkamah Tinggi Syariah.


2. Untuk mengisytiharkan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam, Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah terlebih dahulu memerintahkan orang itu untuk menjalani program pemurnian akidah mengikut ketetapan yang akan ditentukan dari semasa ke semasa oleh Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri. 


3. Mahkamah Tinggi Syariah, menurut Fasal 2, hendaklah menetapkan tempoh program pemurnian akidah mengikut satu tempoh yang dirasakan sesuai dan wajar oleh Mahkamah tetapi tempoh tersebut mestilah tidak kurang daripada 12 kali Majlis.


4. Jika orang itu, setelah menjalani program pemurnian akidah menurut fasal 2 dan 3, telah bertaubat mengikut Hukum Syarak, maka selepas itu Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah membatalkan kes murtad orang itu.


5. Mana-mana orang Islam yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah untuk menjalani Program pemurnian akidah menurut Fasal 2 dan 3 namun gagal untuk bertaubat, maka Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah menangguh kes orang itu dan pada masa yang sama memerintahkan orang itu supaya menjalani program pemurnian akidah yang selanjutnya, mengikut satu tempoh yang dirasakan sesuai dan wajar oleh Mahkamah tetapi tempoh tersebut mestilah tidak kurang daripada 12 kali Majlis.


6. Mana-mana orang Islam yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah untuk menjalani program pemurnian akidah namun gagal untuk bertaubat setelah tamat tempoh yang diperintahkan di bawah Fasal 2,3 dan 5, maka selepas itu tertakluk kepada Fasal 7 dan 8, Mahkamah Tinggi Syariah boleh membuat perintah Interim untuk memerintahkan bahawa orang itu telah murtad dengan syarat bahawa orang tersebut:


(a) Berakal, tidak sah murtad orang gila;

(b) Baligh, menurut Imam Syafie dan Al-Imam Abu Yusuf, tidak sah kanak-kanak yang mumayyiz;

(c) Membuat pilihan sendiri atau sukarela, tidak sah murtad orang yang dipaksa.


7. Mahkamah Tinggi Syariah dalam membuat perintah murtad mengikut Fasal 6, mestilah juga sebelum membuat Perintah Interim tersebut, memerintahkan mengenai perkara-perkara yang berikut:


(a) Pembubaran perkahwinan;

(b) Pembahagian harta sepencarian;

(c) Hak perwalian;

(d) Pembahagian harta pusaka; dan

(e) Hadhanah.


8. Berkaitan dengan Fasal 6, Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah menetapkan dan memerintahkan orang yang telah murtad tersebut supaya menjalani atu tempoh Istitabah tidak kurang daripada 12 kali Majlis.


9. Dalam keadaan bila mana seseorang yang tersebut di Fasal 3 dan 5 telah meninggal dunia, maka beliau adalah masih seorang Islam.


10. Mana-mana orang yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah sebagai telah murtad mengikut Fasal 8, namun gagal untuk bertaubat, Mahkamah Tinggi Syariah boleh membuat perintah muktamad untuk mengisytiharkan bahawa orang itu telah murtad.


11. Mana-mana orang Islam yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi syariah sebagai telah murtad dan dia gagal, ingkar atau enggan untuk bertaubat dalam tempih Istitabah yang ditetapkan mengikut Fasal 8, maka Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah menjatuhkan hukuman berdasarkan Hukum Syarak.


12. Dalam keadaan bila mana seseorang yang telah diperintahkan sebagai murtad oleh Mahkamah Tinggi Syariah mengikut fasal 6 telah meninggal dunia, maka beliau adalah dianggap bukan lagi sebagai seorang Islam.


13. Adalah haram bagi orang Islam untuk mewakili orang Islam yang ingin murtad.


14. Orang Islam yang membantu orang Islam yang lain untuk murtad adalah dihukum murtad.


15. Bagi maksud Fatwa ini, ‘Majlis” adalah dirujuk kepada proses runding cara, sesi kaunseling, program motivasi, ziarah dan apa-apa juga program lain yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri Pulau Pinang bertujuan untuk memulihkan akidah Islam.


16. Fatwa ini membatalkan Fatwa yang telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang menurut Warta Jilid 53, No. 17 bertarikh 13 Ogos 2009.


Tarikh Warta: 14 Februari 2013

No. Warta: 4

Klik disini untuk mencetak