Pembangunan Tanah Wakaf di Bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9)
BAHAWASANYA:
Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu telah bersetuju dan memutuskan seperti berikut:
1. Status Bangunan yang Telah Siap Dibina Di Atas Tanah Wakaf
a. Bangunan yang telah siap dibina di atas tanah wakaf tidak menjadi wakaf secara automatik. Sekiranya pihak Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) ingin mewakafkannya, ia tidak menjadi halangan.
b. Bangunan tetrsebut perlu didaftarkan sebagai harta wakaf yang baru dan perlu
memenuhi rukun-rukun wakaf dan enakmen negeri-negeri.
2. Pembangunan menggunakan Dana Program Pembangunan Harta Wakaf RMK 9 Di Atas Tanah Baitulmal Milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM)
a. Tanah Baitulmal milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan bangunan yang dibina di atas tanah tersebut yang menggunakan dana program pembangunan Harta Wakaf RMK-9 boleh didaftarkan sebagai Harta Wakaf.
b. Untuk memenuhi dan mematuhi peraturan Syariah, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) hendaklah merujuk kepada syarat-syarat wakaf yang sedia ada.
3. Pemajakan Tanah Wakaf Kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan Tanah Wakaf boleh dipajak tetapi tidak boleh dijual.
4. Penjualan Pajakan Unit kedai/Kediaman/Ruang pejabat yang telah Dibangunkan Di Atas Tanah Wakaf.
a. Unit-unit kediaman atau kedai yang dibina di atas Tanah Wakaf boleh dipajak kepada individu bagi tempoh jangka panjang.
b. Syarat dan kaedah yang perlu dipatuhi supaya menepati keperluan syarak adalah berdasarkan Akad Pajakan (sewaan).
5. Status kerajaan Persekutuan Dalam Pembangunan Tanah Wakaf.
a. Kerajaan Persekutuan boleh dianggap sebagai pewakaf dengan syarat peruntukan yang disediakan untuk membangunkan Tanah Wakaf diniat untuk wakaf.
b. Sebagai pewakaf, kerajaan berhak menetukan syarat-syarat harta yang diwakafkan. Sungguhpun begitu, pelantikan nazir tidak dibenarkan kerana bercanggah dengan Enakmen sedia ada.
6. Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) boleh menjadi pemegang amanah dana Program Pembangunan Harta dan Wakaf RMK 9 melalui entiti Wakaf Kebangsaan akan ditubuhkan menerudi usahasama ekonomi dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).
7. Pemegang Amanah Tunggal Wakaf
Isu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) sebagai pemegang amanah tunggal wakaf bukan merupakan isu syariah sebaliknya isu dasar yang melibatkan pentadbiran.
8. Wakaf Wang Tunai
Berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan dalam Islam.
9. Pengecualian atau Remitan Cukai Terhadap Harta Wakaf Harta Wakaf wajar mendapat pengecualian daripada cukai.