Fatwa Mengenai Pengharaman Buku Fahaman Dan Amalan Ibrahim Babu a/l Babu Kamal Bacha
Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Pulau Pinang pada 30 September 2005 telah membincangkan mengenai Buku Fahaman Dan Amalan Ibrahim Babu a/l P.M. Kamal Bacha dan memutuskan seperti berikut:
1) Bahawa isi kandungan Buku Fahaman Dan Amalan Ibrahim Babu a/l P.M Kamal Bacha adalah diharamkan di Negeri Pulau Pinang.
2) Fahaman dan amalan ini, perlu disekat keseluruhannya dari berkembang di Negeri Pulau Pinang kerana percanggahan yang terdapat di dalam buku tersebut meliputi keterangan-keterangan dalam isi kandungannya yang mana antara lain seperti berikut:
2.1 Kita harus ikut Al-Quran dan jangan ikut kitab lain (Hadis) (petikan muka surat:1).
2.2 Visi Al-Quran sudah tukar dari kitab asal seperti kitab Taurat (petikan muka surat: 15).
2.3 Seluruh umat Islam sudah jadi murtad kerana mempercayai Nabi Muhammad s.a.w (petikan muka surat: 21)
2.4 Orang Arab tipu orang yang pergi mengerjakan ibadat haji dengan Hajarul Aswad iaitu batu Syurga (petikan muka surat: 34).
2.5 Arah kiblat yang betul adalah Agama Islam dan jangan ikut arah kiblat untuk sembahyang (petikan muka surat: 52).
2.6 Israk dan Mikraj ketika Nabi pergi beliau tidak pergi ke Masjid Al-Aqsa sebab masjid itu tiada pada masa itu (petikan muka surat: 59).
2.7 Mengucap dua kalimah syahadah tiada dalam Al-Quran (petikan muka surat:99).
2.8 Jangan keluarkan zakat (petikan muka surat: 91).
2.9 Sembahyang Jumaat tiada (petikan muka surat: 91).
2.10 Sembahyang Tahajjud tiada (petikan muka surat: 99).
2.11 Tiada sunat berkhatan dalam Islam (petikan muka surat: 91/99).
2.12 Sembahyang lima waktu tiada dalam Al-Quran (petikan muka surat: 99).
2.13 Waktu berbuka puasa bukan pada waktu Maghrib (petikan muka surat: 99).
2.14 Malaikat Jibrail hanya sekali sahaja datang memberi wahyu kepada nabi Muhammad s.a.w (petikan muka surat: 99).
2.15 Jangan membaca selawat (petikan muka surat: 99).
2.16 Jangan ikut Mazhab (petikan muka surat: 115).
2.17 Khalifah tidak dapat diterima (petikan muka surat: 96).
2.18 Hadis Muslim adalah tipu (petikan muka surat: 100)
2.19 Pada zaman ini tiada Muslim yang seperti disebutkan (petikan muka surat: 115).
3) Oleh itu, mana-mana orang Islam yang berpegang kepada fahaman dan amalan kandungan tersebut adalah dilarang sama sekali kerana ia bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang meliputi:
a) Mengajar, mengamal dan menyebarkan fahaman dan amalan kandungan buku tersebut;
b) Menerbitkan apa-apa bentuk, versi atau variasinya atau apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa atau apa-apa bahan publisiti atau apa-apa bahan sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media atau apa-apa kaedah yang boleh membawa kepada penyebaran fahaman dan amalan tersebut.
Tarikh Warta: 27 Oktober 2005
No. Warta: 22