Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Orang Bukan Islam
Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 2012
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Negeri Sembilan
Keputusan
:
Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.
Walau bagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.
Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mail atau sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.
Mesyuarat juga memutuskan untuk menerima pakai Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam dan bersetuju agar garis panduan ini diterbitkan dalam bentuk risalah atau edaran yang bersesuaian untuk makluman awam.