JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Transplan Organ Dan Tisu

Kategori: Perubatan
Tahun: 2010
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Pulau Pinang
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 1 Ogos 2010 telah membincangkan mengenai Hukum Transplan Organ Dan Tisu dan memutuskan seperti berikut:


1. Bahawa transplantasi dalam istilah perubatan bermaksud pemindahan tisu atau organ dari sudut bahagian ke satu bahagian lain tubuh badan individu yang sama atau satu individu lain.


1.1 Tranplantasi dikategorikan kepada 3 jenis iaitu :


(i) Transplantasi Organ;

(ii) Transplantasi Tisu; dan

(iii) Transplantasi Sel


2. Transplantasi organ adalah satu kaedah rawatan yang tidak disebut secara terperinci di dalam Al-Quran mahupun As-Sunnah Rasulullah s.a.w. kerana kaedah ini merupakan satu perkembangan baru dalam dunia perubatan. Namun begitu, salah satu daripada matlamat syariah adalah untuk memelihara nyawa.


3. Harus melakukan pemindahan organ dan tisu dengan syarat :


3.1 Penderma Masih Hidup


3.1.1 Perlu dijalankan pemeriksaan dengan terperinci dan profesional oleh pakar perubatan tentang jaminan keselamatan untuk penderma terus hidup, mendapat manfaat selain daripada kebaikan dan keburukan serta kejayaan da kegagalan hasil pemindahan tersebut;


3.1.2 Dengan kerelaan dan keizinan penderma itu sendiri tanpa sebarang paksaan oleh mana-mana pihak;


3.1.3 Hendaklah pemindahan organ itu merupakan usaha terakhir dalam keadaan darurat dan keperluan mendesak untuk menyelamatkan nyawa orang lain terutama yang ada hubungan nasab dan keluarga;


3.1.4 Kebenaran bertulis dari penderma dan dia boleh menarik balik kebenaran tersebut pada bila-bila masa;


3.1.5 Organ dan tisu yang diperlukan dan didermakan adalah organ yang lebih dari satu atau organ yang boleh diambil sebahagiannya tanpa mendaruratkan penderma; dan 


3.1.6 Pengamal perubatan mestilah mematuhi etika perubatan.


3.2 Penderma Yang Sudah Mati


3.2.1 Hendaklah kematian seseorang itu bukan suatu pakatan atau dirancang sama ada oleh diri pendakwa atau pihak lain yang ingin mencari keuntungan;


3.2.2 Hendaklah dipastikan terlebih dahulu bahawa penderma betul-betul telah meninggal dunia;


3.2.3 Dengan kerelaan dan keizinan penderma yang mukallaf itu sendiri sebelum mati melalui wasiat serta persetujuan walinya dan dipersaksikan dengan 2 orang saksi;


3.2.4 Hendaklah dipastikan bahawa tidak ada pencerobohan ke atas mayat;


3.2.5 Hendaklah disahkan oleh pakar bahawa organ dan tisu orang yang mati itu masih boleh dipakai dan dimanfaatkan oleh orang yang masih hidup (pesakit);


3.2.6 Sudah pasti dan dijamin pemindahan itu akan berjaya pada kebiasaanya; 


3.2.7 Dilakukan dengan penuh disiplin, ilmu, iman dan taqwa (jika doctor Islam) serta penghormatan yang sewajarnya kepada si mati dan tiada unsur-unsur penghinaannya;


3.2.8 Mayat juga hendaklah segera diselenggarakan untuk pengebumian;


3.2.9 Ada pun kanak-kanakk yang belum baligh ataupun orang gila hendaklah mendapat keizinan daripada walinya;


3.2.10 Hendaklah pemindahan organ itu merupakan usaha terakhir dalam keadaan darurat dan keperluan mendesak bagi menyelamatkan nyawa orang lain bagi mengubati pesakit terutama yang ada hubungan nasab dan keluarga; dan


3.2.11 Sentiasa mendoakan si mati (jika seorang Islam).


4. Organ dan tisu yang dipindahkan dalam kedua-dua keadaan di atas hendaklah bukan bertujuan untuk dijadikan barang dagangan dan jual beli.


5. Orang yang menerima organ dan tisu tersebut hendaklah menggunakannya dengan amanah.


6. Harus melakukan pemindahan organ dan tisu orang Islam kepada penerima bukan Islam dan sebaliknya.


7. Orang kafir harbi tidak harus menerima organ dan tisu orang Islam


Klik disini untuk mencetak