Fatwa Buku/Risalah/Kertas Kerja 'Ulul Albab', Karangan Ismail bin Kassim
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 1 Ogos 2010 telah membincangkan mengenai Buku/Risalah/Kertas Kerja ‘Ulul Albab’ karangan Ismail bin Kassim dan memutuskan seperti berikut:
1. Bahawa Buku/Risalah/Kertas Kerja ‘Ulul Albab’ karangan Ismail bin Kassim adalah bercanggah dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah serta menjadi ancaman kepada perpaduan dan keutuhan ummah dan bangsa, serta keamanan Negara.
2. Fahaman dan amalan ini perlu disekat keseluruhannya daripada terus berkembang di Negeri Pulau Pinang kerana terdapat ciri-ciri di dalam buku Ulul Albab yang bertentangan dengan ajaran agama Islam seperti yang berikut:
2.1 Menuduh para penulis Al-Quran mengubah ayat Al-QURAN sedangkan Allah telah memberi jaminan bahawa Dia akan menjaganya daripada sebarang perubahan, sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Hijt, ayat 9:
Maksudnya : “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”.
2.2 Kesilapan nama penulis kitab Al-Quran iaitu di dalam buku tersebut ditulis nama Said bin Abil ‘As) dan Abdul Rahman bin Haris (nama sebenar ialah Abdul Rahman bin Hashim);
2.3 Menghina dan merendahkan martabat Al-Quran mashaf rasm Uthmani sebagai tidak mampu memberi penunjuk dan tidak boleh dijadikan sebagai rujukan kepada hukum-hukum Allah;
2.4 Menganggap Al-Quran sebagai sebuah kitab yang tercemar kerana susun atur ayat-ayatnya yang cacat-cela;
2.5 Kenyataan dan susunan ayat yang mengelirukan;
2.6 Hadis Nabi tidak bersandarkan kepada nas yang sahih;
2.7 Menuduh para ustaz/ustazah dan ulama’ tidak berakal;
2.8 Menuduh para ustaz/ustazah dan ulama’ mengembangkan fahaman bid’ah dhololah; dan
2.9 Menuduh para ustaz/ustazah dan ulama’ menjadi penyokong dan berpakat dengan musuh Islam, menerima latihan serta bantuan kewangan dan senjata untuk menjatuhkan pemimpin Islam.
3. Mana-mana orang Islam yang berpegang kepada fahaman dan amalan kandungan tersebut adalah dilarang sama sekali dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana ia adalah salah dan sesat serta bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah yang meliputi:
(a) Mengajar, mengamal dan menyebarkan fahaman dan amalan kandungan buku tersebut; dan
(b) Menerbitkan apa-apa bentuk versi atau variasinya atau apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa atau apa-apa bahan publisiti atau apa-apa bahan sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media atau apa-apa kaedahyang boleh membawa kepada penyebaran fahaman dan amalan tersebut.
Tarikh Warta: 9 Disember 2010
No. Warta: 865