JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Percukaian Menurut Pandangan Islam: Kajian Terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)

Kategori: Muamalat/Ekonomi
Tahun: 2015
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Negeri Sembilan
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 02/2015-1436H yang bersidang pada 25 Februari 2015 bersamaan 06 Jumada al-Ula 1436H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-106 berkenaan Percukaian Menurut Pandangan Islam: Kajian Terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan sighah seperti berikut :


1) Hasil pembentangan, Mesyuarat menerima pendapat bahawa :


i. Sumber pendapatan negara yang dikutip daripada rakyat dibahagikan kepada dua iaitu zakat dan cukai. Isu cukai adalah isu siyasah syar'iyah yang bergantung kepada maslahah yang berbeza-beza antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan maslahah pada sesuatu zaman berbanding zaman yang lain.

 

ii. Cukai yang tidak berasaskan maslahah yang dibenarkan oleh Syarak adalah diharamkan. Oleh itu, jika Kerajaan sesebuah pemerintahan mengutip cukai bagi memenuhi maslahah daruriyat dan hajiyat rakyat, seperti untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan kepentingan rakyat serta untuk keperluan jihad fi sabilillah, maka ia adalah dibenarkan.

 

iii. Sebahagian ulama iaitu Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, Ibn al-Musili al-Syafi'i, al-Syatibi, Ibn Khaldun, ulama semasa Mahmud Syaltut dan Ahmad al-Raysuni membenarkan Kerajaan untuk mengenakan cukai kepada rakyat sekadar untuk memenuhi maslahat umum pentadbiran negara.

iv. Majoriti para ulama berpandangan Kerajaan haram mengutip cukai daripada rakyat. Namun jika terdapat keperluan yang mendesak, maka Kerajaan dibenarkan mengenakan cukai bagi memenuhi maslahah umum rakyat berdasarkan Qaedah Fiqhiyyah:

 

الشريعة وضعت لمصالح العباد ودرء المفاسد عنهم


"Syariat itu dibina atas dasar memenuhi maslahah manusia dan menjauhkan mafsadah daripada mereka".

 

2) Mesyuarat juga berpandangan bahawa apabila Kerajaan mengutip cukai daripada rakyat, wujud kemudharatan khusus iaitu harta milik rakyat akan berkurangan. Namun, jika cukai tidak dikutip, banyak maslahah umum tidak dapat dilaksanakan oleh Kerajaan. Oleh itu, berdasarkan Qaedah Fiqhiyyah  يُتَحَمَّلُ الضَّرَرُ الْخَاصُّ؛ لِأَجْلِ دَفْعِ ضَرَرِ الْعَامِّ (Ditanggung kemudaratan khusus untuk mengelakkan berlakunya kemudaratan umum), Kerajaan dibenarkan untuk mengutip cukai demi untuk memenuhi maslahah umum.

 

3) Sehubungan itu, Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa Islam mengharuskan pemerintah atau Ulil Amri untuk mengutip cukai seperti Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia selagimana terdapat keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat, dan pelaksanaannya hendaklah berpandukan parameter syarak seperti berikut:

 

i. Kerajaan Komited Melaksanakan Syariat Islam;

ii. Kerajaan Memerlukan Sumber Kewangan;

iii. Cukai Yang Dikutip Hanya Untuk Memenuhi Maslahah Dharuriyat dan Hajiyat;

iv. Bebanan Cukai Dikutip Secara Adil;

v. Cukai Dibelanjakan Untuk Maslahah Ummah Bukan Untuk Maksiat;

vi. Agihan Cukai Hendaklah Bertepatan Dengan Ijtihad Ulama Semasa dan Setempat;

 

Status pewartaan : Tidak diwartakan

 

Klik disini untuk mencetak