JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Perbincangan Semula Cadangan Pewartaan Fatwa Pengharaman Ajaran Millah Abraham @ Ibrahim Di Negeri Melaka

Kategori: Akidah
Tahun: 2015
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Melaka
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 1/2015 yang bersidang pada 28 Rabiulakhir 1436H bersamaan 18 Februari 2015M telah meneliti dan membincangkan mengenai Cadangan Pewartaan Fatwa Pengharaman Ajaran Millah Abraham @ Ibrahim Di Negeri Melaka. Setelah meneliti keterangan dan pandangan yang dikemukakan oleh ahli-ahli jawatankuasa, mesyuarat

memutuskan bersetuju dengan cadangan sighah fatwa sepertimana berikut : 

 

(1) Bahawa fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam kerana mengandungi elemen-elemen meragukan antaranya seperti berikut :

 

a) Membawa ajaran dan kerajaan baru (Millah Abraham @ Ibrahim);

 

b) Mendakwa ada rasul selepas Nabi Muhammad S.A.W.;

 

c) Mensyirikkan golongan yang tidak mengikuti Millah Abraham @ Ibrahim;

 

d) Menggabungkan tiga (3) ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi;

 

e) Menyalah ertikan maksud kiamat;

 

f) Memahami al-quran mengikut tafsiran sendiri;

 

g) Meninggalkan solat lima waktu dan solat jumaat;

 

h) Taksub dan memutuskan hubungan keluarga dan suami isteri; dan

 

i) Perjanjian (bai’ah) oleh anggota Millah Abraham.

 

(2) Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang untuk berpegang kepada fahaman atau ajaran Millah Abraham @ Ibrahim atau menjadi pengikut kepada fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengan fahaman atau ajaran tersebut dan sesiapa yang sengaja melakukannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar;

 

(3) Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang berada di dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman atau ajaran Millah Abraham @ Ibrahim atau mereka berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan denganya dan sesiapa yang sengaja melakukannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran islam yang sebenar;

 

(4) Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya melalui pengakuan bersumpah atau apa-apa kaedah lain adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar; 

 

(5) Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang menjadi ahli atau pengikut kepada mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya dengan berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat, yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar;

 

(6) Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang cuba menghidupkan kembali ajaran dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya sama ada melalui apa-apa rangkaian, atau mana-mana pertubuhan atau persatuan yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar;

 

(7) Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengajar, menganjur, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar;

 

(8) Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar;

 

(9) Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, facebook, twitter atau media sosial lain adalah diharamkan; 

 

(10) Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah juga dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman audio, risalah, buku-buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah atau apa-apa dokumen menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan ajaran dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya;

 

(11) Semua pihak adalah dilarang dan ditegah daripada memberi apa jua kemudahan, sumbangan dan bantuan kepada mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan dengannya daripada mengamalkan, menyebarkan dan mengembangkan fahaman dan ajaran kumpulan tersebut di Negeri Melaka;

 

(12) Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang melakukan perkara-perkara di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang- undang yang berkuat kuasa di Negeri Melaka; dan

 

(13) Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang telah berbai’ah (taat setia) dan mengamalkan fahaman atau ajaran Millah Abraham @ Ibrahim atau mereka yang berpegang dengan fahaman atau ajaran tersebut atau apa-apa fahaman atau ajaran yang mempunyai persamaan denganya di mana-mana jua berada hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah subhanahu wata’la.


Bersetuju mewartakan fatwa pengharaman fahaman atau ajaran Millah Abraham@ Ibrahim di Negeri Melaka dalam Warta Kerajaan Negeri Melaka bagi tujuan penguatkuasaan dan membendung perkembangannya di negeri ini.

 

 

Klik disini untuk mencetak