JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Perbincangan Semula Cadangan Pewartaan Fatwa Mengenai Had Tempoh Panggilan Muallaf Di Negeri Melaka

Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 2015
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Melaka
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 1/2015 yang bersidang pada 28 Rabiulakhir 1436H bersamaan 18 Februari 2015M telah meneliti dan membincangkan mengenai Cadangan Pewartaan Fatwa Mengenai Had Tempoh Panggilan Muallaf Di Negeri Melaka. Setelah mengadakan perbincangan, mesyuarat memutuskan :


i) Bersetuju dengan cadangan sighah fatwa sepertimana berikut :

 

(1) Sebutan dan tempoh panggilan muallaf bagi seseorang yang baru memeluk agama Islam adalah bersifat uruf semata-mata dan tiada sebarang nas yang menetapkannya;

 

(2) Had tempoh panggilan muallaf bagi seseorang yang baru memeluk agama Islam di Negeri Melaka ialah selama 5 tahun berdasarkan ‘uruf yang dikira dari tarikh pendaftaran memeluk Islam dengan syarat mereka telah mengikuti kelas-kelas bimbingan Islam yang diiktiraf atau dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Melaka;

 

(3) Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) hendaklah membiayai segala kos pembelajaran bimbingan Islam bagi muallaf-muallaf berkenaan selama tempoh 5 tahun tersebut;

 

(4) Selepas tempoh 5 tahun, pemberian zakat dinilai berdasarkan kelayakan di bawah asnaf fakir dan miskin atau asnaf-asnaf lain yang bersesuaian;

 

(5) MAIM perlu menubuhkan jawatankuasa hal ehwal muallaf yang berfungsi antara lain untuk menilai dan mengesyorkan kelayakan seseorang muallaf untuk  dikeluarkan dari panggilan muallaf dan seterusnya diberhentikan daripada menerima bantuan zakat di bawah asnaf muallaf selepas tempoh 5 tahun; dan

 

(6) MAIM perlu mewujudkan kaedah atau peraturan bagi melaksanakan keputusan ini agar ia dapat berjalan dengan teratur.

 

ii) Bersetuju mewartakan fatwa tersebut dalam Warta Kerajaan Negeri Melaka supaya dapat dilaksanakan dan dipatuhi.

 

Klik disini untuk mencetak