Hukum Solat Jumaat Pada Hari Raya
i. Sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat maka seseorang lelaki Muslim yang mukallaf dan bermastautin dalam sesebuah kariah adalah wajib menunaikan solat Jumaat walaupun telah menunaikan solat hari raya.
ii. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli.” (Al Jumu’ah : 9)
dan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Diriwayatkan daripada Tariq bin Shihab bahawasanya Rasulullah SAW bersabda; “Solat Jumaat merupakan suatu kewajipan bagi setiap Muslim dengan berjamaah kecuali empat golongan; hamba, wanita, kanak-kanak dan orang sakit.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
iii. Bagi mereka yang bermukim juga dinasihatkan supaya menunaikan solat Jumaat pada hari tersebut jika tiada halangan atau uzur yang syarie.
iv. Adapun kedua-dua solat (hari raya dan Jumaat) merupakan dua syiar yang berbeza dalam syariat Islam dan mempunyai kemuliaan serta keistimewaan yang tersendiri. Merujuk pandangan Imam Ibn al Hasan as Syaibani, dua hari raya berhimpun dalam satu hari (hari raya dan Jumaat) maka yang awalnya (solat hari raya) adalah sunat dan yang kemudiannya (solat Jumaat) adalah wajib dengan tidak meninggalkan salah satu daripada keduanya.
v. Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah menasihatkan semua umat Islam yang berkewajipan mendirikan solat Jumaat sewajarnya tidak meninggalkan solat Jumaat dan memanfaatkan kesempatan berhimpunnya dua syiar dalam satu hari yang jarang-jarang berlaku. Mudah-mudahan pandangan Fatwa ini memupuk perpaduan dan kesatuan dalam kalangan umat Islam demi mengelak perselisihan faham dan perbezaan pendapat yang akhirnya membawa kesan negatif kepada penduduk setempat . Wallahu A’alam.