Fatwa Mengenai Ajaran-ajaran dan Fahaman-fahaman Yang Terkandung Dalam Buku-buku Yang Menolak Hadith Sahih
Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Perak Darul Ridzuan kali ke 134 yang bersidang pada 2 Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995 atas titah perintah Duli yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa berikut:
"A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK -
(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;
(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu-Hadith di dalam al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;
(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;
(d) "The Computer Speaks-God's Message To The World" yang ditulis oleh Dr. Rashad Khalifa,
adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.
B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah.
C. OLEH YANG DEMIKIAN-
(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu-Hadith di dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks-God's Message To The World" adalah murtad;
(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang-
(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku 'Hadis Satu Penilaian Semula', 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik', 'Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu - Hadith Di Dalam al-Quran', 'Bacaan' atau 'The Computer Speaks: God"s Message To The World';
(b) mencetak, menerbitkan, memiliki, menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkanbuku 'Hadis Satu Penilaian Semula,' 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik', 'Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu - Hadith Di Dalam al-Quran', 'Bacaan' atau 'The Computer Speaks: God"s Message To The World'; atau mana-mana bahagiannya, termasuk :
(i) apa-apa bentuk, versi atau variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku itu,
pada atau atas apa-apa bahan, sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media; atau
(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian.".
http://mufti.perak.gov.my/images/perkhidmatan/koleksi_umum/warta_kerajaan/antihadith.pdf