JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Peraduan SMS Dan Menyertainya Menurut Pandangan Islam

Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 2016
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Negeri Sembilan
Keputusan
:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 07/2016-1437H yang bersidang pada 25 Ogos 2016 bersamaan 22 Zulkaedah 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-64 berkenaan Hukum Peraduan SMS Dan Menyertainya Menurut Pandangan Islam dengan sighah seperti berikut :  


  1. Muzakarah memutuskan bahawa peraduan kuiz melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang mengandungi unsur-unsur eksploitasi, kesamaran (tidak jelas), pertaruhan dan nasib adalah tergolong dalam pengertian judi.
  2. Mana-mana orang yang ingin terlibat dengan peraduan kuiz melalui sistem pesanan ringkas (SMS) hendaklah merujuk kepada Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah (Garis Panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Bilangan 5 tahun 2013).

 

Hujah dan dalil:


Aspek/sudut pengharaman: 


  1. Bayaran bil telefon atau talian untuk memasuki pertandingan dari segi syarak hukumnya adalah haram jika syarikat yang menaja wang dan menyediakan peraduan menunggu wang yang datangnya daripada caj bayaran telefon.
  2. Peserta yang menggunakan talian telefon untuk menyertainya membayar setiap minit dengan bayaran yang lebih dari caj bayaran biasa.
  3. Peserta yang berharap hanya membayar dengan bayaran biasa/sedikit tetapi mendapat keuntungan yang banyak adalah haram.
  4. Syarikat telah mengambil wang manusia lain secara batil kerana pertandingan atau yang seumpamanya ini berjaya mengumpulkan berlipat kali ganda hasil kadar bayaran daripada peserta.

 

Lajnah Tahrir al-Taqwa bil Mauqi’ (لجنة تحرير الفتوى بالموقع) meletakkan beberapa syarat yang wajib dihindari supaya sesuatu peraduan itu tiada unsur judi: 


  1. Tidak berlaku persetujuan antara penganjur dengan mana-mana syarikat komunikasi; sebagai satu cara mereka untuk mendapat untung.
  2. Peraduan itu tidak mengenakan bayaran untuk disertai sama ada bayaran itu dengan cara tertentu atau melalui penambahan kos perbualan jika peraduan itu diadakan melalui telefon.
  3. Peraduan itu mestilah pada perkara yang berfaedah sebaliknya bukan pada bentuk soalan berkenaan filem dan seumpamanya.
  4. Peraduan itu tidak bertujuan untuk mengambil harta orang ramai yang menyertainya kerana berharap kepada hadiah yang lumayan seterusnya membawa kepada pembaziran wang atau harta.

 

Status Pewartaan : Tidak Diwartakan

Klik disini untuk mencetak