Penggunaan Kalimah Suci Islam
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-90 yang bersidang pada 25 Mac 2015 telah membincangkan perkara berkenaan dengan Penggunaan Kalimah Suci Islam. Alhamdulillah, fatwanya adalah seperti yang berikut:
1. Bagi memelihara akidah umat Islam, kalimah suci Islam adalah khusus bagi agama Islam dan orang Islam sahaja. Oleh itu, kalimah suci Islam tidak boleh disalahgunakan atau disamakan dengan perkataan yang digunakan dalam agama bukan Islam. Orang Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam perkara ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan mana-mana kalimah suci Islam semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan kemudaratan yang besar kepada agama Islam dan orang Islam.
2. Kalimah suci Islam termasuklah seperti yang berikut:
(a) Allah;
(b) Solat;
(c) Kaabah;
(d) Baitullah;
(e) Firman-Nya;
(f) Wahyu;
(g) Rasulullah;
(h) Masjid;
(i) Subhanahuwataala (SWT);
(j) Sallallahualaihiwasallam (SAW);
(k) Malaikat;
(l) Ruhul Qudus;
(m) Roh Allah;
(n) Asma’ul Husna; dan
(o) Kalamullah.
3. Oleh itu, mana-mana orang adalah dilarang daripada menyalahgunakan atau menghina atau bersubahat dalam menyalahgunakan atau menghina mana-mana kalimah suci Islam yang dinyatakan dalam perenggan 2.