Menggunakan Atau Memakai Barangan Atau Logo Yang Mempunyai Lambang Kepercayaan Agama Lain
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-90 yang bersidang pada 25 Mac 2015 telah membincangkan perkara berkenaan dengan Hukum Menggunakan atau Memakai Barangan atau Logo yang Mempunyai Lambang Agama Lain. Alhamdulillah, fatwanya adalah seperti yang berikut:
1. Hukum menggunakan atau memakai barangan atau logo yang mempunyai lambang kepercayaan agama lain seperti agama Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan sebagainya adalah haram dan boleh menjejaskan akidah umat Islam, iaitu seperti salib, gereja dan sebagainya.
2. Mana-mana orang adalah dilarang daripada menjual, menggunakan, memakai, mengedarkan, menggantungkan, menjadikan perhiasan atau cenderahati, apa-apa barangan atau logo yang mempunyai lambang kepercayaan agama lain.
3. Mana-mana orang adalah dilarang daripada bersubahat dalam melakukan perkara yang dilarang dalam perenggan 2.