JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Larangan Mengamalkan Ajaran Yang Menyalahi Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah

Kategori: Akidah
Tahun: 2015
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Wilayah Persekutuan
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-90 yang bersidang pada 25 Mac 2015 telah membincangkan perkara berkenaan dengan Larangan Mengamalkan Ajaran yang Menyalahi Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Alhamdulillah, fatwanya adalah seperti yang berikut:

                   

1. Ciri-ciri ajaran yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah seperti yang berikut:

 

(a) Dari segi akidah

 

(i)   Mendakwa diri atau orang lain sebagai tuhan;

 

(ii)  Mendakwa bahawa Allah SWT bersifat selain apa-apa sifat yang selayaknya bagi Allah SWT sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran dan hadis;

 

(iii) Mendakwa bahawa mana-mana makhluk berkuasa memberi kemudaratan dan manfaat tanpa kuasa Allah SWT;

 

(iv) Berpegang kepada konsep manusia bersatu dengan Allah SWT;

 

(v)  Mendakwa diri atau orang lain menerima wahyu;

 

(vi)  Mendakwa orang lain tidak mati (ghaib) dan akan muncul semula;

 

(vii)  Mendakwa diri atau orang lain mengetahui perkara ghaib;

 

(viii) Mendakwa diri atau orang lain mengetahui bila kemunculan Imam Mahdi dan hari kiamat;

 

(ix)  Mendakwa diri atau orang lain mengetahui nasib seseorang;

 

(x)  Mendakwa diri atau orang lain mengetahui bahawa huruf pada kalimah tertentu dalam al-Quran mempunyai maksud tertentu;

 

(xi)  Mendakwa diri atau orang lain mampu berinteraksi dengan orang mati, jin, syaitan atau malaikat secara langsung;

 

(xii)  Mendakwa diri atau orang lain mampu memindahkan atau menangguhkan bala atau ajal;

 

(xiii)  Mendakwa diri atau orang lain mampu berkomunikasi dengan Allah SWT;

 

(xiv)  Mendakwa diri atau orang lain mampu menangguhkan hari kiamat;

 

(xv)  Mendakwa diri atau orang lain mampu melihat Allah SWT dalam keadaan sedar (yaqazah) di dunia;

 

(xvi)  Mendakwa diri atau orang lain mampu melihat Rasulullah SAW dalam keadaan sedar (yaqazah);

 

(xvii)  Mendakwa diri atau orang lain mampu memindahkan kekuatan luar biasa kepada seseorang;

 

(xviii) Mendakwa diri atau orang lain layak mengesahkan keislaman, menentukan jaminan keampunan Allah SWT dan kesudahan neraka atau syurga bagi seseorang;

 

(xix) Mendakwa diri atau orang lain akan ditimpa bala sekiranya mendedahkan isi ajaran kepada umum;

 

(xx)  Mendakwa bahawa roh orang mati mampu menjelma ke dalam jasad orang hidup;

 

(xxi)  Mendakwa bahawa roh orang mati mampu memberikan pertolongan apabila diseru (kebiasaannya berlaku di tanah perkuburan yang dipercayai mempunyai keramat);

 

(xxii)  Mendakwa bahawa wujudnya nabi atau wahyu selepas Rasulullah SAW;

 

(xxiii)  Mendakwa diri atau orang lain memikul tugas nabi atau rasul;

 

(xxiv)  Mendakwa diri atau orang lain sebagai nabi atau rasul;

 

(xxv)  Mendakwa diri atau orang lain sebagai wakil nabi atau rasul untuk memberikan syafaat;

 

(xxvi)  Mendakwa diri atau orang lain sebagai Imam Mahdi;

 

(xxvii) Mendakwa diri atau orang lain sebagai jelmaan sahabat Rasulullah SAW atau syeikh tertentu;

 

(xxviii) Mendakwa diri atau orang lain sebagai insan maksum;

 

(xxix)  Mendakwa diri atau orang lain mendapat nur secara khusus dan langsung daripada Allah SWT atau rasul;

 

(xxx)  Mendakwa diri atau orang lain memiliki kunci syurga;

 

(xxxi) Mendakwa diri atau orang lain memiliki mukjizat;

 

(xxxii) Mendakwa diri atau orang lain berupaya memberikan pertolongan secara ghaib (ma`unah);

 

(xxxiii)  Mendakwa bahawa dosa dapat ditebus dengan wang;

 

(xxxiv) Mendakwa bahawa nikmat kubur atau azab kubur dan peristiwa selepas mati tidak wujud;

 

(xxxv) Mendakwa diri atau orang lain tidak perlu melaksanakan sebarang amal kebaikan kerana dosa dan pahala, dan kesudahan neraka dan syurga telah ditentukan oleh Allah SWT sejak azali;

 

(xxxvi) Mendakwa bahawa semua yang lahir daripada diri adalah benar datang daripada Allah SWT, tidak perlu dipersoalkan dan wajib dituruti;

 

(xxxvii) Mendakwa bahawa semua manusia di dunia ini mukmin (dengan hujah, naluri asal manusia mengakui wujudnya tuhan) dan kesudahan syurga bagi setiap manusia;

 

(xxxviii) Mendakwa bahawa semua agama adalah sama (pluralisme agama);

 

(xxxix)  Mendakwa bahawa Ahlul Bait atau sahabat Rasulullah SAW yang tertentu sebagai kafir dan wajib dimusuhi;

 

(xl)  Menghina apa-apa ajaran yang bertepatan dengan al-Quran,    as-Sunnah dan ijmak ulama; atau

 

(xli) Menghina al-Quran dan as-Sunnah melalui perkataan atau perbuatan atau apa-apa cara yang boleh membawa penghinaan kepada al-Quran dan as-Sunnah.

 

(b) Dari segi Syariah?

 

(i)  Menghalalkan sesuatu yang diharamkan dalam syariat Islam;

 

(ii)  Mendakwa bahawa adalah harus melakukan perkara haram, asalkan bertujuan mulia;

 

(iii) Mendakwa bahawa solat atau apa-apa amalan yang disyariatkan memadai dilakukan dengan niat;

 

(iv)  Mendakwa bahawa solat fardu secara berjemaah bukan sebahagian daripada syariat Islam;

 

(v)  Mendakwa bahawa arah kiblat solat boleh juga dihadapkan ke arah selain Kaabah;

 

(vi) Mendakwa bahawa fardu haji boleh juga ditunaikan di tempat selain Mekah;

 

(vii) Mendakwa diri atau orang lain telah mencapai hakikat (kesempurnaan insan) dan tidak memerlukan sebarang syariat;

 

(viii) Mendakwa bahawa tarekat yang diamalkan sebagai jaminan kepada keredaan Allah SWT, padahal terdapat unsur yang meragukan atau jelas menyalahi syariat;

 

(ix)  Mendakwa bahawa as-Sunnah bukan sebahagian daripada sumber syariat Islam;

 

(x)  Menolak sebarang tafsiran ayat al-Quran atau teks hadis yang telah diijmak oleh para ulama muktabar;

 

(xi) Mendakwa bahawa bermazhab adalah bidaah dan merendah-rendahkan mana-mana orang yang beramal mengikut mazhab;

 

(xii)  Mendakwa bahawa semua amalan yang dianggap bidaah itu amalan sesat dan pelakunya ahli neraka;

 

(xiii)  Menghalalkan nikah adik-beradik (mahram);

 

(xiv)  Mengharamkan perkahwinan dengan anggota kumpulan ajaran yang lain;

 

(xv)  Mengharamkan perkahwinan dengan bekas isteri guru kumpulan ajaran;

 

(xvi)  Menghalalkan kahwin secara kontrak (mutaah);

 

(xvii)  Menghalalkan nikah batin atau ghaib (tanpa wali dan saksi);

 

(xviii)  Mengharamkan perkahwinan dengan wanita yang diminati oleh guru kumpulan ajaran;

 

(xix)  Menghalalkan seks tanpa nikah;

 

(xx)  Mendakwa bahawa penyakit hanya akan sembuh dengan melakukan persetubuhan atau apa-apa perlakuan ke arah persetubuhan;

 

(xxi)  Mendakwa bahawa guru kumpulan ajaran berhak ke atas maruah diri (kebiasaannya berlaku kepada anggota kumpulan wanita), keluarga dan harta;

 

(xxii)  Mendakwa bahawa khalwat atau suluk sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT atau jaminan mendapatkan keredaan-Nya walaupun terpaksa mengabaikan amalan fardu (sebagai contoh, khalwat atau suluk tanpa solat fardu dan solat Jumaat);

 

(xxiii)  Mendakwa bahawa fardu haji hanya sah ditunaikan selepas berkhalwat atau suluk di tempat tertentu sebelum menunaikan fardu haji;

 

(xxiv)  Mendakwa bahawa wajib berpura-pura terhadap sesama orang Islam dengan tujuan menyembunyikan ajaran atau mazhab yang bertentangan dengan ajaran Islam;

 

(xxv)  Mendakwa bahawa baiah terhadap pemimpin kumpulan ajaran lebih utama, walaupun terpaksa melanggar ketetapan Syarak;

 

(xxvi)  Mendakwa bahawa Allah SWT hanya menilai kebersihan batin;

 

(xxvii)  Mendakwa bahawa tidak perlu mengikut syariat sekiranya tasawuf telah sempurna; atau

 

(xxviii) Mendakwa diri atau orang lain sebagai Ahlul Bait dengan alasan supaya diri atau orang lain itu diberi penghormatan, kedudukan atau apa-apa kepentingan peribadi yang lain.

 

2. Mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1 dan dilarang daripada berpegang pada, mempercayai dan mengamalkannya. Mana-mana orang yang berpegang pada, mempercayai atau mengamalkan ajaran sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1 hendaklah bertaubat.

 

3. Mana-mana orang adalah dilarang daripada menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan atau menerbitkan apa-apa poster, buku, risalah, majalah atau apa-apa bahan bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dalam apa-apa jua bentuk keluaran atau ulangannya, termasuklah audio visual, filem, rakaman, laman sesawang atau media cetak atau elektronik yang mengandungi ciri-ciri ajaran sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1.

 

4. Mana-mana orang adalah dilarang daripada bersubahat dalam melakukan   mana-mana perkara yang dilarang dalam perenggan 2 dan 3. 

 

Klik disini untuk mencetak