JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Larangan Mengamalkan Ajaran Dan Amalan Fahaman Syiah

Kategori: Akidah
Tahun: 2015
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Wilayah Persekutuan
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-90 yang bersidang pada 25 Mac 2015 telah membincangkan perkara berkenaan dengan Larangan Mengamalkan Ajaran dan Amalan Fahaman Syiah. Alhamdulillah, fatwanya adalah seperti yang berikut:

 

1. Ajaran dan amalan fahaman Syiah adalah menyeleweng daripada pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta bertentangan dengan hukum Syarak. Ciri-ciri penyelewengan yang terdapat dalam ajaran dan amalan fahaman Syiah adalah seperti yang berikut:

 

(a)  Dari segi akidah

 

(i) Mempercayai bahawa semua imam adalah maksum (terpelihara daripada dosa kecil dan besar). Imam juga tidak tersalah atau tersilap dalam segala tindak-tanduknya;

 

(ii) Mengkafirkan atau mempertikaikan al-’adalah, iaitu kejujuran mana-mana para sahabat Rasulullah SAW;

 

(iii) Mempercayai bahawa al-Quran yang ada pada hari ini ialah al-Quran yang sudah diselewengkan dan ditokok tambah;

 

(iv) Berpegang kepada al-Bada`, iaitu kepercayaan bahawa ilmu Allah SWT berubah-ubah berdasarkan sesuatu peristiwa yang berlaku. Ini bermaksud Allah SWT jahil dan tidak mempunyai ilmu secara keseluruhannya;

 

(v) Berpegang kepada ar-raja`ah, iaitu kepercayaan bahawa imam akan dihidupkan semula untuk mengadili dan menghukum orang yang telah merampas hak mereka termasuklah mengadili dan menghukum Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidatina Aisyah, Muawiyah dan sahabat Rasulullah SAW yang lain;

 

(vi) Berpegang kepada imamah atau wilayah, iaitu kepercayaan bahawa imam dilantik oleh Allah SWT;

 

(vii) Berpegang kepada ghaibah, iaitu kepercayaan bahawa wujudnya imam yang lenyap dan akan kembali ke dunia untuk membawa keadilan dalam pemerintahan;

 

(viii) Mempercayai bahawa Imam Kedua Belas (Muhammad bin Hassan Al-Askari) telah ghaib dan akan bangkit sebagai Imam Mahdi Al-Muntazar;

 

(ix) Berpegang kepada al-Baraah, iaitu kepercayaan untuk membebaskan diri daripada dan memutuskan hubungan kasih sayang dengan, semua khalifah sebelum Saidina Ali, iaitu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman;

 

(x) Menokok tambah nama Saidina Ali dalam kalimah syahadah seperti, “Tiada tuhan melainkan Allah, Muhammad Pesuruh Allah, Ali khalifah yang dilantik oleh Allah”;

 

(xi) Berpegang kepada taqiyyah, iaitu menyembunyikan fahaman sebenar dan melahirkan yang lain daripada apa yang ada dalam hati;

 

(xii)  Menghalalkan nikah mutaah ; atau

 

(xiii) Menolak hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat, termasuk isteri Rasulullah SAW meskipun hadis mutawatir kerana beranggapan bahawa para sahabat telah murtad selepas kewafatan Rasulullah SAW. Mereka yang mengamalkan ajaran dan amalan fahaman Syiah hanya menerima hadis yang diriwayatkan daripada imam Ahlul Bait sahaja.

 


(b) Dari segi Syariah

 

 

(i)  Menolak ijmak ulama;

 

(ii)  Menolak qias sebagai sumber hukum Syarak;

 

(iii)  Menuduh Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Muawiyah sebagai empat berhala Quraisy serta pengikut masing-masing sebagai musuh Allah;

 

(iv)  Mendakwa bahawa hanya Saidina Ali yang menghimpunkan al-Quran dengan sempurna;

 

(v)  Mendakwa bahawa sesiapa yang menziarahi kubur Saidina Hussain akan memperoleh ganjaran syurga;

 

(vi)  Melakukan penyiksaan tubuh badan sehingga berdarah sempena 10 Muharram bagi mengingati dan menangisi kematian Saidina Hussain dalam peristiwa Karbala;

 

(vii)  Menghina atau melaknat Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan sesetengah sahabat Rasulullah SAW tertentu;

 

(viii)  Menghina mana-mana isteri Rasulullah SAW;

 

(ix)  Mengharuskan sembahyang jamak tanpa sebab yang diharuskan mengikut hukum Syarak;

 

(x)  Menetapkan prinsip khumus sebagai kadar zakat;

 

(xi)  Tidak wajib membasuh kaki ketika berwuduk sebaliknya hanya disapu dengan tangan sahaja; atau

 

(xii)   Sujud di atas batu yang didakwa sebagai batu Karbala ketika solat.

 


2.  Mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran dan amalan fahaman Syiah sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1 dan dilarang daripada berpegang pada, mempercayai atau mengamalkannya. Mana-mana orang yang berpegang pada, mempercayai atau mengamalkan ajaran dan amalan fahaman Syiah sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1 hendaklah bertaubat.

 

3. Mana-mana orang adalah dilarang daripada menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan atau menerbitkan apa-apa poster, buku, risalah, majalah atau apa-apa bahan bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dalam    apa-apa jua bentuk keluaran atau ulangannya, termasuklah audio visual, filem, rakaman, laman sesawang atau media cetak atau elektronik yang mengandungi ciri-ciri ajaran dan amalan fahaman Syiah sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1.

 

4. Mana-mana orang adalah dilarang daripada bersubahat dalam melakukan  mana-mana perkara yang dilarang dalam perenggan 2 dan 3.

 


Bertarikh    Oktober 2015

Dated      October 2015

[PMWP/100/20 Klt. 2; PN(PU2)530/IX]

                                

                   

DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan/

Mufti for the Federal Territories

Klik disini untuk mencetak