Wasiat Wajibah
Tiada wasiat yang dinamakan sebagai Wasiat Wajibah menurut al-Quran dan al-Sunnah. Merujuk kepada kes yang dipersoalkan mengenai hak cucu terhadap harta peninggalan datuknya, maka tiada hak faraid untuk cucu menurut ketetapan syarak, melainkan di atas ihsan ahli waris berdasarkan ayat al-Nisa’: ayat 8 yang bermaksud: “Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.”
Kata al-Qurtubi pandangan yang sahih bagi maksud “berikanlah” itu adalah disunatkan bukannya wajib. (Lihat Tafsir al-Qurtubi).
Hikmah pembahagian faraid adalah rahsia milik Allah dan tiada siapapun yang boleh mengatasi dan mempertikaikannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’: ayat 11 yang bermaksud: “lbu-bapa dan anak-anak kamu, (sedangkan) kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan. Itu ialah) ketetapan daripada Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”