JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Perkahwinan Dengan Wanita Hamil

Kategori: Munakahat
Tahun: 2016
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Perlis
Keputusan
:

Para ulama berbeza pandangan berkaitan hukum berkahwin dengan wanita hamil. Penjelasannya adalah seperti berikut:

 

1. Ulama mazhab Maliki dan Hambali demikian juga pandangan Abu Yusuf dari Mazhab Hanafi:

 

Tidak boleh menikahi wanita tersebut sebelum dia melahirkan kandungannya, sama ada kandungan itu hasil hubungan dengan lelaki yang hendak menikahinya ataupun dengan lelaki lain. Dalil:

 

i. Hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim, beliau mensahihkan hadis yang bermaksud: “Jangan disetubuhi wanita hamil (kerana zina) sehinggalah dia melahirkan kandungannya.”

 

ii. Diriwayatkan daripada Sa’ied bin al-Musayyib RA tentang seorang lelaki yang mengahwini seorang perempuan, kemudian dia mendapati wanita itu telah mengandung. Lalu perkara itu diadukan kepada Nabi Muhammad SAW. Baginda memisahkan mereka berdua. (lihat al-Mughniy oleh Ibn Qudamah Fasl Iza Zanat al-Mar’ah Lam Yahil Liman Ya’lam Zalika Nikahaha Illa Bisyartain. Lihat juga al-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi, beliau berkata: Hadis ini Mursal)


2. Ulama mazhab Syafie dan Hanafi:

 

Boleh menikahi wanita hamil dari zina kerana hubungan zina tidak ada kemuliaan dan tidak dapat mensabitkan nasab. Dalil:

 

Hadis al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Anak itu dinasabkan kepada suami yang sah, manakala bagi yang berzina adalah hukuman rejam dengan batu.”

 

Jika wanita hamil kerana zina berkahwin dengan lelaki yang bukan berzina dengannya, mereka tidak dihalalkan melakukan hubungan persetubuhan sehinggalah wanita tadi melahirkan anak zinanya.  Ini berdasarkan hadis yang bermaksud: “Jangan disetubuhi wanita hamil (kerana zina) sehinggalah dia melahirkan kandungannya.”

 

Demikian juga hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka jangan dia menyiram benihnya ke tanaman orang lain.” (HR al-Tirmizi dan beliau menilai sebagai Hasan)

 

Jika wanita itu dinikahi oleh lelaki yang berzina dengannya, mereka boleh melakukan hubungan persetubuhan berdasarkan pandangan kedua ini. Pernikahan tersebut juga adalah sah.

 

KEPUTUSAN:

 

Pendapat kedua adalah pendapat yang dipilih kerana kejelasan hujah berdasarkan hadis-hadis yang sahih di atas.

 

Klik disini untuk mencetak