Pembahagian Harta Pusaka Dan Wasiat
i. Wasiat harta ialah pesanan melaksanakan pemberian atau sumbangan kepada seseorang atau pihak lain yang telah ditinggalkan oleh si mati untuk disempurnakan setelah pewasiat itu meninggal dunia.
ii. Untuk melaksanakan wasiat si mati, waris–waris hendaklah terlebih dahulu mengkategorikan sama ada wasiat tersebut sah di sisi hukum syarak. Sekiranya wasiat berkenaan sah pada hukum syarak, waris-waris wajib melaksanakannya. Di antara syarat-syarat sah wasiat iaitu:
a) Harta yang diwasiatkan itu tidak melebihi 1/3 daripada harta bersih yakni daripada keseluruhanya baki harta si mati setelah ditolak belanja pengkebumian dan hutang piutang.Ini merujuk kepada hadith Rasululllah s.a.w: yang maksudnya: Dari Saad bin Abi Waqas r.a, dia berkata Rasulullah s.a.w mendatangiku untuk menjengukku sewaktu Haji Wada’, kerana aku sakit parah. Aku berkata : “Wahai Rasulullah, aku jatuh sakit seperti yang engkau lihat sendiri. Padahal aku mempunyai harta yang banyak dan ahli warisku hanyalah seorang anak putriku. Maka bolehkah aku mensedekahkan dua pertiga dari hartaku?” Baginda menjawab : “Tidak boleh”. Aku bertanya : “Bagaimana jika separuhnya wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab : “Tidak boleh”. Aku bertanya lagi : “Bagaimana jika sepertiga?”. Baginda menjawab : “Sepertiga, dan sepertiga itu adalah banyak”.
b) Harta itu tidak diwasiatkan kepada mana-mana waris yang berhak menerima pusakanya berpandukan hadith Rasulullah s.a.w: yang maksudnya: Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap orang yang berhak itu hak masing-masing, kerana itu tiada wasiat kepada waris.
c) Namun jika diwasiatkan kepada waris yang berhak menerima harta pusaka maka dalam situasi ini perlu mendapat keredhaan atau persetujuan daripada semua waris yang berhak menerima harta tersebut. Ini berdasarkan kepada sabda Nabi s.a.w :yang maksudnya : “Tidak boleh wasiat kepada pewaris, melainkan jika para pewaris mengizinkannya (bersetuju)”.