JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Fidyah Dan Kafarah

Kategori: Ibadah
Tahun: 2014
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Kedah
Keputusan
:

Pandangan Jawatankuasa Fatwa mengenai persoalan berkenaan fidyah dan kafarah yang dikemukakan oIeh pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Kedah:

 

1. Mengikut mazhab Syafie, fidyah dan kafarah hanya boleh dibayar dengan makanan ruji / asasi mengikut negeri masing-masing sahaja . Bolehkah kita membayar fidyah dan kafarah dengan menggunakan wang, sedangkan zakat dan zakat fitrah boleh dibayar dengan menggunakan wang ?

 

Jawapan : Membayar fidyah dan kafarah dengan menggunakan wang atas maslahah masyarakat masa kini adalah diharuskan mengikut pandangan mazhab Hanafi. Ini merujuk kepada siyasah Khalifah Ammar bin Abd Aziz yang mengharuskan mengeluarkan zakat dalam bentuk nilai ( qimah ) .

 

Imam As-Sauri dan Imam Abu Hanifah dan para sahabatnya: Harus mengeluarkan zakat dalam bentuk nilai. Sesungguhnya yang demikian itu diriwayatkan oIeh Ammar bin Abd Aziz dan Imam Hasan al-Basri

Adapun pandangan ini menunjukkan bahawa nabi s.a.w telah bersabda: “Kayakan mereka iaitu orang-orang miskin pada hari ini (hari raya) dan mengkayakan mereka boleh dilaksanakan dengan memberi maka, barangkali memberi nilai wang itu lebih utama kerana berlebihan makanan di samping orang miskin itu mendesak mereka supaya menjualnya, sedangkan wang ringgit membolehkan mereka membeli keperluan samada makanan, pakaian dan apa yang mereka perlukan”.

 

 

2. Berdasarkan fatwa negeri Selangor, pembayaran fidyah dan kafarah yang tertangguh adalah tidak digandakan (harus), ini menurut sebahagian daripada pandangan mazhab Syafie. Adakah gandaan fidyah dan kafarah bagi negeri Kedah diambil kira ?

 

Jawapan : Merujuk kepada pandangan mazhab Syafie pembayaran kafarah dan fidyah yang tertangguh hendaklah digandakan. Ini berdasarkan qaul yang sahih :

 

 ((Barang siapa yang terlewat mengqada Ramadan pada tahun itu sedangkan ia berkemampuan melakukannya sehingga masuk Ramadan berikutnya maka wajib ke atasnya (membayar fidyah satu hari satu cupak) di samping ia mengqadakan puasa yang ditinggalkannya itu pada pendapat yang sahih fidyah itu berulang dengan berulangnya tahun- tahun yang ia luput itu, dan sekiranya ia melewatkan qada puasanya sedangkan ia mampu berbuat demikian maka jika ia mati di tahun itu. maka hedaklah dikeluarkan fidyah itu daripada pusakanya setiap hari dua cupak: satu cupak untuk qada dan satu cupak lagi untuk kelewatannya )).

 

Sekiranya pembayar fidyah dan kafarah itu di kalangan orang kaya dan berkemampuan maka pembayaran fidyah dan kafarah yang tertangguh hendaklah digandakan sesuai dengan qaul yang sahih dalam mazhab Imam Syafie . Akan tetapi jika pembayar fidyah dan kafarah itu di kalangan orang miskin atau fakir maka tidak perlu digandakan berpandukan kepada satu qaul yang lain di dalam mazhab Syafie.

 

3. Bagaimana jika kita sengaja tidak mahu berpuasa dua bulan berturut- turut bagi kafarah persetubuhan disiangnya hari Ramadan dan zihar dengan mengambil jalan mudah untuk memberi makan kepada 60 orang miskin? Adakah dibolehkan? Adakah kita boleh untuk tidak mengikut turutan kafarah yang diwajibkan tersebut? Contoh : Kita rasa keberatan dan tidak mahu untuk berpuasa dua bulan berturut-turut tanpa sebab yang kukuh, maka dengan mudah kita terus memberikan makan kepada

60 orang miskin?

 

Jawapan : Merujuk kepada pandangan ulama :

 

Tiada perselisihan diantara ulama dalam mewajibkan kafarah secara tertib iaitu mendahulukan pembebasan hamba sekiranya ia tidak mampu maka wajib ia berpuasa dua bulan berturut-turut dan sekiranya ia tidak mampu berpuasa maka berilah makan kepada enam puluh orang fakir miskin .Pandangan di atas menyatakannya bahawa tidak ada perselisihan diantara ulama bahawa kafarah persetubuhan disiang hari Ramadan dan zihar hendaklah mengikut tertib . Ini dijelaskan dalam sebuah Hadis :

 

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a: Beliau berkata seorang lelaki datang kepada nabi s.a.w seraya bertanya: “Puasa aku telah binasa hari ini”, kemudian berkata nabi s.a.w: “Apa yang menyebabkan kamu binasa?” Lelaki itu menjawab: “Saya telah bersetubuh dengan isteri saya pada siang Ramadan.” Bertanya nabi s.a.w: “Apakah kamu ada hamba untuk dimerdekakan? Salmah menjawab : “Tiada” . Kemudian Nabi s.a.w bertanya lagi : “Apakah kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut? Beliau menjawab: “Tidak mampu.” Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apakah kamu ada makanan untuk diberi makan enam puluh orang miskin? Dia menjawab: “Tidak mampu.” Kemudian dia duduk dan didatangkan kepada nabi s.a.w satu bekas berisi kurma, lalu nabi s.a.w bersabda: “Bersedekahlah dengan tamar ini.” Lelaki itu bertanya lagi: “Adakah untuk diberikan kepada orang yang lebih fakir daripada kami? Maka tidak ada di antara dua gunung di Madinah ini keluarga yang lebih berhajat daripada kami.” Maka ketawa nabi s.a.w sehingga ternampak geraham Baginda. Kemudian Baginda bersabda: “Pergilah, maka beri makanlah kepada ahli keluarga kamu.

 

Oleh itu, sekiranya pembayar kafarah tidak mampu berpuasa dua bulan berturut-turut maka dibolehkan berpindah kepada kafarah yang seterusnya iaitu memberi makan kepada 60 fakir miskin. Kemampuan berpuasa itu diukur melalui kemampuan dirinya yang tidak ada kekuatan untuk berpuasa secara berterusan dalam tempoh dua bulan dan diperakui oIeh doktor Muslim sekiranya puasanya itu akan menjejaskan kesihatan atau tubuh badan pembayar kafarah tersebut. Maka dibolehkan berpindah kepada kafarah memberi makan kepada 60 fakir miskin.

 

4. Jika seseorang itu melakukan zina di bulan Ramadan, apakah hukumnya dan bagaimanakah cara untuk menggantikan puasa? Adakah dikenakan kafarah? Jika dikenakan kafarah, bagaimana kaedah untuk melakukannya? Adakah dikiaskan seperti suami isteri berjimak di siang hari bulan Ramadan?

 

Jawapan : Orang yang melakukan perbuatan itu yakni pasangan tersebut wajib mengqadakan puasa Ramadhannya mengikut hari yang ditinggalkan. Walau bagaimanapun kafarah tidak dikenakan kepada lelaki yang melakukan perbuatan zina itu. Para ulama berpendapat kafarah hanya dikenakan kepada lelaki yang berkahwin secara sah. Orang yang melakukan zina disiang hari bulan Ramadan tidak dikenakan kafarah tetapi dikenakan balasan yang lebih besar iaitu hudud.

 

 

5. Sekiranya pihak yang menerima bayaran fidyah dan kafarah (Baitulmal) daripada pembayar menangguhkan pengagihan fidyah dan kafarah yang dibayar pada tahun tersebut tidak diagihkan sehingga tahun berikutnya, apakah hukumnya?

 

Jawapan : Pihak Baitulmal merupakan wakil daripada pembayar fidyah . Sekiranya penangguhan pembayaran fidyah tersebut disebabkan faktor- faktor yang diterima di sisi syarak seperti banjir, bencana alam dan seumpamanya, maka dibolehkan . Akan tetapi jika sebab penangguhan itu atas faktor kelemahan dan kecuaian pihak Baitulmal maka pihak Baitulmal bertanggungjawab atas perkara tersebut.

 

6. Bolehkah pihak Baitulmal menerima kos perkhidmatan atas pembayaran dalam pengurusan fidyah dan kafarah yang diuruskan oIeh pihak Baitulmal? Kos tersebut bertujuan untuk pengurusan dalam tenaga kerja Baitulmal . Jika boleh, berapakah kadar kos yang boleh diambil daripada hasil fidyah dan kafarah ?

 

Jawapan : Pihak Baitulmal boleh mengenakan kos tambahan atau caj perkhidmatan bagi tujuan pengurusan dengan kadar yang menasabah dan tidak membebankan pembayar fidyah dan kafarah itu . Namun demikian, kos tersebut tidak boleh ditolak daripada kadar sebenar fidyah dan kafarah tersebut .

 

7. Sekiranya dalam kafarah membunuhnya dengan tidak sengaja, hokum kafarahnya yang pertama membebaskan hamba, dan sekiranya tidak mampu dan tiada hamba, maka hedaklah berpuasa selama dua bulan berturut-turut berserta taubah nasuha . Persoalannya, seandainya seseorang itu tidak mampu menyempurnakan kedua-dua kafarah di atas, apakah yang perlu dilakukan untuk menebus dosanya ?

 

Jawapan : Menurut pandangan ulama sekiranya seseorang itu tidak mampu membayar kafarah membunuh dengan tidak sengaja maka Waris hendaklah berpuasa bagi pihak pembunuh tersebut . Sekiranya waris tidak mampu untuk berpuasa maka waris hendaklah membayar fidyah satu hari satu cupak selepas kematian pembunuh itu .

 

8. Jika pihak Baitulmal telah mendapat hasil kutipan daripada fidyah dan kafarah dan diagihkan pada tahun tersebut tetapi terdapat lebihan baki agihan fidyah dan kafarah pada tahun tersebut, contohnya baki lebihan tersebut sebanyak RM100.00, adakah wang lebihan itu boleh dibuat pelaburan ?

 

Jawapan : Pihak Baitulmal tidak boleh membuat pelaburan daripada baki lebihan fidyah dan kafarah, tetapi hendaklah mengagihkan baki lebihan tersebut pada tahun berikutnya. Perlu ditegaskan di sini bahawa kelewatan pembayaran baki lebihan fidyah dan kafarah itu atas sebab syarak.

 

1  Fiqh Zakah, Dr. Yusuf Qaradhawi, Dar Ar-ratnad, Juzu’ 2, m/s 948

2  Ibid m/s 949

3  Kitab Mihaj At-Thalibin Lil Imam An-Nawawi, m/s 434 dan Kitab Mughni Muhtaj, Syeikh Shamsuddin Muhamad bin Al-Khatib As-Sharbini, m/s 645.

4 Kitab Al-Iqna’Fi Masail Ijma’, Imam Hafiz Abi Hassan Ali bin Al-Qittani Al-Fasi, Jilid 2, m/s 745 5 Kitab Subulas Salam, Imam Muhammad bin Ismail Al-Kahlani, Juz 2, m/s 163

 

Klik disini untuk mencetak