Kedudukan Perbuatan Zikir Sambil Memukul Gendang Atau Peralatan Muzik Lain Dalam Masjid Atau Surau
Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah, Bil. 2/2015 telah bersidang pada 27 – 29 Oktober 2015M / 14 – 16 Muharam 1437H, bertempat di Hyatt Regency Kinabalu, Kota Kinabalu, Sabah bagi membincangkan mengenai perkara “Kedudukan Perbuatan Zikir Sambil Memukul Gendang Atau Peralatan Muzik Lain Dalam Masjid Atau Surau” dan telah bersetuju memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa:
Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa melagukan zikir adalah harus jika ianya dilakukan dengan penuh adab dan boleh membawa kepada tercapainya matlamat berzikir. Tetapi jika majlis atau amalan berzikir tersebut dilakukan dengan penggunaan alat-alat muzik yang dilarang sehingga melalaikan dan menghilangkan tujuan sebenar berzikir atau dilakukan di tempat ibadah seperti surau atau masjid sehingga mengganggu urusan ibadah orang lain atau majlis yang bercampur antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, maka perbuatan zikir sedemikian adalah dilarang oleh Islam.