JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Ajaran Ilmu Syahadah, Zikir Nafas Dan Lain-lain Yang Berkaitan Dengan Kedudukannya Oleh Ismail Bin Kassim.


Kategori: Akidah
Tahun: 2017
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Melaka
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka yang bersidang pada 26 Ramadhan 1438H bersamaan 20 September 2017M telah berbincang dan sebulat suara bersetuju dengan sighah keputusan fatwa yang dibentangkan sepertimana berikut :


1. Bahawa ajaran Ilmu Syahadah, Zikir Nafas dan Lain- lain Yang Berkaitan Dengan Kedua- Dua oleh Ismail Bin Kassim dari pertubuhan Rahmatan Lil Alamin (Perahmat) atau seumpamanya adalah menyeleweng dari ajaran islam berdasarkan elemen- elemen berikut :


(a) Terbatal Kesemua Rukun Islam Sekiranya Tidak   Mempelajari Ilmu Syahadah Yang Dibawa Oleh Ismail Bin Kassim (IBK).


Rukun Islam yang pertama, iaitu mengucap dua kalimah Syahadah bagi seseorang itu terbatal sekiranya dia tidak mempelajari Ilmu Syahadah (Ilmu Penyaksian) yang dibawa oleh Ismail bin Kassim. Ilmu Syahadah yang dimaksudkan ialah ilmu penyaksian qalbu terhadap roh yang sedang bersyahadah.


(b) Tuntutan Mencari Penyaksian Syahadah.

 

Seseorang hendaklah berusaha mencari penyaksiannya yang dibawa sebagai saksi pada hari akhirat kelak. Penyaksian tersebut akan diperoleh apabila dia menerima dan mengamalkan Ilmu Syahadah dan Zikir Nafas.

      

(c) Ismail bin Kassim Penyaksian Syahadah.

 

Ismail bin Kassim akan menjadi penyaksi syahadah seseorang di dunia dan di akhirat setelah orang itu mempelajari dan menerima Ilmu Syahadah yang diajari oleh beliau. Orang yang tidak menerima ilmu ini daripada beliau, dia tidak akan memperoleh penyaksi syahadahnya, dan syahadahnya tidak diterima Allah.

      

(d) Wajib Mempelajari Zikir Nafas Kerana Tiada Cara Lain Untuk Mencari Allah Kecuali Melaluinya.

 

Seseorang itu wajib mempelajari Zikir Nafas, kerana tiada cara lain untuk mencari Allah kecuali melaluinya. Mencari Allah SWT melibatkan peranan yang dimainkan oleh qalbu. Anggota pancaindera manusia yang lain, seperti mata dan telinga peranannya terhad kepada alam zahir sahaja, berbeza dengan qalbu yang mempunyai peranan ghaib. Hanya dengan amalan Zikir Nafas boleh membuka mata hati qalbu. Oleh yang demikian, apabila mata hati qalbu seseorang telah terbuka, maka doa akan dapat melihat penyaksian roh, dan perkara- perkara ghaib yang lain dengan berterusan secara autopilot.

      

(e) Mengambil Zikir Nafaz Secara Bai’ah.

 

Untuk mengambil ilmu Zikir Nafas hendaklah secara bai’ah melalui guru yang berketurunan Ahli Bait sahaja, iaitu Ismail bin Kassim.

      

(f) Mengisi Nafas Dengan Zikir لا اله الا الله .

 

Zikir Nafas ialah seseorang itu perlu mengisi nafasnya dengan zikir لا اله الا الله.Zikir ini hendaklah dilakukan secara berterusan selama 24 jam tanpa henti. Kaedah untuk mendapatkan zikir tanpa henti, iaitu melalui pengisian zikir dalam pernafasan. Apabila kalimah zikir telah diisi dalam pernafasan, setiap kali manusia bernafas, nafasnya akan berzikir mengingati Allah SWT (لا اله الا الله).Perkiraan yang dibuat terhadap bilangan zikir (108 x 24) zikir sehari.

 

(g) Amalan Zikir Nafas Wujud Sejak Dari Zaman Nabi Adam AS.

 

Amalan Zikir Nafas telah wujud sejak zaman Nabi Adam AS dan baginda adalah orang pertama yang mengamalkannya. Allah SWT telah meniupkan roh-Nya ke dalam jasad Nabi Adam AS dan seterusnya bernafas, dan nafas pertama yang naik dan turun daripada Nabi Adam AS adalah berbentuk Zikir Nafas.

 

(h) Zikir Nafas Adalah Amalan 124,000 Para Rasul Dan Para Wali Allah.

 

Para rasul AS diperintahkan oleh Allah SWT untuk berkhalwat di dalam gua, apabila berada di dalam gua akan didengar secara jelas bunyi perkataan Zikir Nafas, iaitu ‘hu’,’hu’, ‘hu’.

 

(i) Amalan Zikir Nafas Adalah Sahih Dan Sabit Melalui Al-Quran Dan Al- Hadith.

 

Sesiapa yang mengingkari dianggap telah menaruh syak terhadap al- Quran dan al- Hadith.

 

(j) Semua Makhluk Hidup Dengan Kalimah ‘Hu’.

 

Semua makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT dapat terus hidup dengan kalimah ‘hu’, ‘Hu’ juga merupakan bunyi nafas yang sedia ada, bunyi oksigen, segala bunyian, peredaran binatang, planet bulan dan mata hati.

 

(k) Hari Kiamat Akan Berlaku Apabila Tiada Lagi Makhluk Yang Nafasnya Berzikir Dengan Kalimah Allah.

 

Semua makhluk termasuk haiwan, tumbuh- tumbuhan dan manusia akan mati dan diikuti dengan berlakunya hari kiamat apabila tiada lagi makhluk yang nafasnya berzikir dengan kalimah Allah.

 

(l) Kelebihan Luar Biasa Apabla Mengamalkan Zikir Nafas ialah:

 

(i) Menyambung talian dengan Allah SWT;

(ii) Menyambung talian dengan Nabi Muhammad SAW;

(iii) Menyambung talian emas dengan guru- guru yang sampai  sanadnya kepada Nabi Muhammad SAW;

(iv) Nafas terkawal daripada segala gangguan syaitan, iblis, ifrit dan jin;

(v) Dianggap berada di landasan sirat al- mustaqeem;

(vi) Nafas sentiasa rasa dikawal;

(vii)  Nafas berjalan dengan kelajuan yang begitu normal walaupun mendengar berita buruk dan menakutkan;

(viii) Hidup dan mati menjadi kesedaran diri walaupun    berada di mana jua;

(ix) Apabila lalai dan alpa, nafas akan datang menyedarkan diri  kepada Allah;

(x) Akan mendapat husnu al- khatimah.

 

(m) Mengamalkan Kepercayaan Wahdat al- Wujud.

 

Ismail bin Kassim pernah mengungkap kata- kata yang jelas membawa kepada makna Wahdat al- Wujud, iaitu “ Aku berkata- kata dengan lidah ini, ini lidah Allah, ini lidah Allah, kafir kamu pergi, kalau kamu menolak, pergi, ini lidah Allah, ini perkataan Allah, di mana kamu, kafir terus…”

 

(n) Mentakwilkan Ayat- Ayat al- Quran Secara Bathil.


Pada ayat dalam surat al- Fatihah : اهدنا الصرط المستقيم, Allah SWT akan menjawab : صراط الذين انعمت عليهم, iaitu الصالحين , الشهداء والصديقين. Tafsir bagi ketiga- tiga perkataan tersebut adalah seperti yang berikut :

 

Metakwilkan ayat- ayat al- Quran secara batil, antaranya seperti yang berikut :

 

(i)          الصالحين    : Mempunyai Zikir Nafas dan kenal Allah dengan Aqal;

(ii)          الشهداء     : Mempunyai Zikir Nafas dan syahadah dengan qalbu;

(iii)        الصديقين    : Mempunyai Zikir Nafas dan rohnya bersyahadah;

 

(o) Kaedah Penafsiran al- Quran (Usul Tafsir) Yang Menyeleweng,

 

Ayat- ayat al- Quran tidak boleh difahami semata- mata dengan membaca terjemahan, kitab- kitab tafsir, mahupun asbab al- nuzul, bahkan hanya boleh difahami dengan ilmu al- Quran (Ilmu Takwil, Ilmu al- Furqan, Ilmu Ma’an, Ilmu Maqsud, Ilmu Hikmah, Ilmu Makrifat, Ilmu Hakikat, Ilmu Asrar, Ilmu Ghaib dan Ilmu Yaqin).

 

(p) Berpegang Kepada Hadith Palsu.


Antaranya:

      

(i) “Sesiapa yang menyakiti orang tolibul-ilmi seperti menyakiti 124,00  nabi, sesiapa yang menyakiti 124,00 nabi seperti menyakiti Rasulullah SAW, sesiapa yang menyakiti Rasulullah SAW seperti menyakiti Allah SWT, dan sesiapa yang menyakiti Allah, neraka tempatnya”.

 

(ii) “Barang siapa yang mencariku, pasti menjumpai-Nya, Barang siapa yang  menjumpai-Nya, maka dia telah menjumpai segala- segalanya, Nabi Muhammad SAW bertanya bagaimana ingin mencari Allah, dan Allah pun menjawab: ‘Shahadah’”.

 

(iii) “Barang siapa yang datang berjumpa dengan Aku dalam pada mana dia mengenal aku, setiap kebajikan aku beri dia sedunia bilangan makhluk yang pernah Aku cipta dan akan Aku cipta”.

 

(q)   Ghuluw (Melampau) Dalam Menghormati Guru.

      

Peraturan yang wajib dipatuhi oleh murid kepasa Ismail bin Kassim selaku guru atau sheikh seperti berikut:

 

(i)     Sesiapa yang hendak bersalaman dengan guru, wajib mengambil wuduk dahulu kerana guru dianggap membawa al- Quran yang hidup;

 

(ii) Setiap murid berkenaan yakin bahawa guru dapat mengesan ketaatan murid, atas izin Allah SWT;


(iii) Setiap murid jangan menderhaka kepada guru atas amanah- amanahnya;

 

(iv) Setiap murid jangan ada sangkaan bahawa guru tidak mengetahui kelakuan dan perbuatan mereka.

(v) Setiap murid jangan meragui atau membantah di hadapan guru atau di belakangnya kerana guru hanya mengajar ilmu kalimah la ila ha illallah.

 

(vi) Setiap murid jangan sekali- kali melanggar panduan di atas, kelak akan terjerumus ke dalam kecelakaan dan kebinasaan.

 

2. Oleh itu mana-mana orang Islam adalah diharam dan dilarang:

 

a) Berpegang dan beramal dengan ajaran Ilmu Syahadah, Zikir Nafas Dan Lain- Lain Yang Berkaitan Dengan Kedua- duanya Oleh Ismail bin Kassim dari Pertubuhan Rahmatan Lil Alamin (PERAHMAT) atau seumpamanya. Mana-mana orang Islam yang telah berbai’ah atau mengamalkan fahaman dan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT;

 

b) Semua bentuk pengajaran, penerbitan dan pengedaran bahan- bahan ajaran Ilmu Syahadah, Zikir Nafas Dan Lain- Lain Yang Berkaitan Dengan Kedua- duanya Oleh Ismail bin Kassim dari Pertubuhan Rahmatan Lil Alamin (PERAHMAT) atau seumpamanya adalah melakukan kesalahan apa jua medium hendaklah disekat, dihentikan dan diharamkan serta merta.

 

3. Mana-mana orang Islam yang melakukan apa jua aktiviti yang berkaitan dengan ajaran Ilmu Syahadah, Zikir Nafas Dan Lain- Lain Yang Berkaitan Dengan Kedua- duanya Oleh Ismail bin Kassim dari Pertubuhan Rahmatan Lil Alamin (PERAHMAT) atau seumpamanya adalah melakukan kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang- undang yang berkuat kuasa di Negeri Melaka.


Klik disini untuk mencetak