Pengurusan Pengebumian Jenazah Dalam Kalangan Warga Polis Diraja Malaysia
Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah Bil. 1/2016 yang bersidang pada 01 - 03 Mac 2016M / 22 - 24 Jamadilawal 1437H bertempat di Grand Borneo Hotel, Kinabalu bersetuju menerima pakai keputusan Muzakarah Fatwa Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dengan pindaan seperti berikut:
1. Hukum anggota pasukan beruniform seperti PDRM, ATM dan seumpamanya yang beragama Islam mengusung jenazah anggota bukan Islam sewaktu istiadat/ upacara pengebumian dijalankan adalah harus dengan syarat:
i. Tidak terlibat dalam upacara penyembahan dan keagamaan; dan
ii. Si mati merupakan ahli keluarga, teman rapat, rakan sepasukan atau jiran.
2. Jenazah mana-mana anggota yang beragama Islam diusung oleh anggota bukan Islam sewaktu istiadat/upacara pengebumian dijalankan adalah haram kerana orang Islam hendaklah diutamakan dalam urusan berkaitan agama Islam dan tujuan mengiringi jenazah adalah sebagai syafaat kepada jenazah
3. Mana-mana anggota beruniform beragama Islam adalah dilarang terlibat dalam pancaragam sewaktu upacara pengkebumian anggota bukan beragama Islam;
4. Melepaskan tembakan selepas pengebumian jenazah anggota yang beragama Islam adalah dilarang kerana muzik dan bunyi-bunyian tidak dibenarkan di tanah perkuburan;
5. Tiupan bugle, bunyi-bunyian atau muzik adalah dilarang dalam pengurusan jenazah orang Islam sebelum atau selepas upacara pengebumian dijalankan kerana ia termasuk dalam larangan meninggikan suara di tanah perkuburan;
6. Penggunaan pakaian seragam anggota beruniformyang mengandungi kalimah Allah dan Muhammad pada mayat anggota pasukan sama ada Islam atau bukan Islam adalah dilarang.