Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah Bil. 1/2016 yang bersidang pada 01 - 03 Mac 2016M / 22 - 24 Jamadilawal 1437H bertempat di Grand Borneo Hotel, Kinabalu bersetuju menerima pakai keputusan Muzakarah Fatwa Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dengan pindaan seperti berikut:
- Penulisan ayat-ayat al-Quran dalam bentuk hiasan yang keterlaluan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kesukaran kepada pembaca adalah dilarang;
- Penulisan khat ayat al-Quran boleh dibuat dengan syarat ditulis dengan betul dan dapat dibaca;
- Tulisan khat ayat al-Quran tidak boleh dicampuradukkan dengan ayat-ayat lain sehingga boleh mengelirukan pembaca;
- Tulisan khat ayat-ayat al-Quran mestilah ditulis dengan sempurna dan susunan ayat-ayatnya tidak boleh terputus-putus sehingga mencacat atau mengelirukan atau mengubah maknanya.
- Tulisan seni khat ayat-ayat al-Quran yang dibuat dalam pelbagai bentuk sehingga menimbulkan kekeliruan dan menghilangkan tujuan asal ayat-ayat al-Quran diturunkan adalah dilarang kerana tujuan asal al-Quran adalah untuk dibaca, difahami dan dihayati.
- Tulisan khat yang terbalik adalah dilarang kerana sukar dibaca dan melanggar kaedah penulisan al-Quran.
- Tulisan khat ayat al-Quran mestilah sesuai pada tempatnya dan dalam bentuk yang tidak merendahkan martabat al-Quran.