Berjihad Atas Nama Islamic State In Iraq And Syams (ISIS) Dan Seumpamanya
Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak kali ke 28 pada 27 Jamadilakhir 1437H/ 5 April 2016M sebulat suara menerima sighah keputusan seperti berikut:
Fahaman, ajaran dan ideologi al-Dawla al-Islamiya Fi Iraq Wa al-Sham (DAESH), atau juga dikenali sebagai Militan Islamic State in Iraq and Syams (ISIS) atau Islamic State of Iraq and the Levant (ISIL), atau Islamic State (IS) (selepas ini dirujuk secara kolektif sebagai IS) adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah kerana mengandungi elemen-elemen seperti yang berikut:
a) Membunuh manusia secara kejam dengan menyembelih, mengebom, menembak, meletupkan, melemaskan serta membakar tahanan hidup-hidup;
b) Menyerang dan membunuh rakyat yang tidak bersalah yang tidak menyertai perjuangan mereka;
c) Merogol wanita-wanita yang ditawan kerana dianggap sebagai hamba tawanan perang;
d) Memusnahkan rumah-rumah ibadat agama-agama lain dan perkuburan yang dianggap sebagai bida’ah dan khurafat pada pandangan mereka;
e) Membunuh orang-orang awam tanpa mengira agama, keturunan, usia termasuk orang dewasa, wanita dan kanak-kanak yang tidak sehaluan dengan fahaman mereka demi mencapai cita-cita politik dan matlamat ketenteraan mereka;
f) Menegakkan Daulah IS menggunakan kaedah jihad qital (perang) dan keganasan;
g) Mendakwa sesiapa yang tidak menyertai jihad dalam bentuk yang mereka fahami telah melakukan dosa besar dan bukan Muslim yang sebenarnya;
h) Menuduh umat Islam yang mengamalkan sistem demokrasi dan terlibat dalam pilihan raya dan kepartian sebagai taghut, munafik atau kafir;
i) Menghalalkan darah orang Islam yang menentang mereka kerana dianggap sebagai taghut, munafik atau kafir serta dituduh bersekutu dengan musuh Islam;
j) Meyakini bahawa negara-negara umat Islam selain Daulah IS yang mengamalkan sistem moden adalah negara kafir dan wajib diperangi;
k) Mengkafirkan pemerintah Islam yang tidak menegakkan hukum Syariah dalam sesebuah negara;
l) Menyempitkan dan menyalahtafsirkan konsep jihad dengan melaksanakan jihad hujumi (serangan ofensif) sebagai satu-satunya cara untuk menegakkan Islam; dan
m) Mengisytiharkan Daulah IS yang mereka anggap sebagai negara Islam tanpa melalui proses yang benar bahkan tidak mendapat pengiktirafan ulama-ulama muktabar dunia.
Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan untuk berpegang kepada fahaman, ajaran dan ideologi militan IS termasuklah;
a) menjadi pengikut kepada fahaman, ajaran dan ideologi militan IS atau apa-apa fahaman, ajaran dan ideologi yang mempunyai persamaan dengan fahaman, ajaran dan ideologi militan IS;
b) berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman, ajaran dan ideologi militan IS;
c) mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan fahaman, ajaran dan ideologi militan IS atau apa-apa fahaman, ajaran dan ideologi yang mempunyai persamaan dengannya melalui pengakuan bersumpah atau apa-apa kaedah lain;
d) berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat, yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan fahaman, ajaran dan ideologi mereka yang berpegang dengan fahaman, ajaran dan ideologi militan IS;
e) menghidupkan atau menyebarkan fahaman, ajaran dan ideologi mereka yang berpegang dengan fahaman, ajaran dan ideologi militan IS;
f) mengajar, menganjur, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa program, aktiviti, perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman, ajaran dan ideologi militan IS;
g) membiayai pergerakan militan IS;
h) memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman audio, risalah, buku, majalah atau apa-apa terbitan atau apa-apa dokumen menggunakan apa-apa bentuk, lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh dikaitkan dengan fahaman, ajaran dan ideologi militan IS;
i) telah berbai’ah (taat setia) dengan fahaman, ajaran dan ideologi militan IS; dan
j) mengamalkan, menyebarkan dan mengembangkan fahaman, ajaran dan ideologi militan IS di negeri Sarawak.
Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan fahaman, ajaran dan ideologi militan IS atau apa-apa fahaman, ajaran dan ideologi yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, facebook, twitter atau media sosial lain yang bertentangan dengan fahaman dan ajaran Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah diharamkan.
Mana-mana orang Islam yang telah berbai’ah atau mengamalkan fahaman, ajaran dan ideologi militan IS adalah disifatkan bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah S.W.T.