JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Ajaran Millah Abraham @ Ibrahim

Kategori: Akidah
Tahun: 2016
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Sarawak
Keputusan
:

Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak kali ke 28 pada 27 Jamadilakhir 1437H/ 5 April 2016M sebulat suara menerima sighah keputusan seperti berikut:


Fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam kerana mengandungi elemen-elemen seperti yang berikut:


a) membawa ajaran dan kerajaan baharu (Millah Abraham@Ibrahim);


b) mendakwa ada Rasul selepas Nabi Muhammad S.A.W.;


c) mensyirikkan golongan yang tidak mengikuti ajaran Millah Abraham@Ibrahim;


d) menggabungkan tiga (3) ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi;


e) menyalahertikan maksud kiamat;


f)  memahami al-Quran mengikut tafsiran sendiri;


g) tidak melaksanakan solat lima waktu dan solat Jumaat; atau


h) taksub kepada ajaran sehingga sanggup memutuskan hubungan keluarga dan suami isteri sekiranya tidak mengikuti fahaman dan ajaran ini.



Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan untuk berpegang kepada fahaman dan ajaran Millah Abraham@Ibrahim termasuklah:


a) menjadi pengikut kepada fahaman dan ajaran Millah Abraham@Ibrahim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham@Ibrahim;


b) berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham@Ibrahim;


c) mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham@Ibrahim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya melalui pengakuan bersumpah atau apa-apa kaedah lain;


d) berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham@Ibrahim;


e) melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang cuba menghidupkan kembali fahaman dan ajaran mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham@Ibrahim;


f)  mengajar, menganjur, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham@Ibrahim;


g) memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman, audio, risalah, buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah atau apa-apa dokumen menggunakan apa-apa bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan fahaman dan ajaran mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham@Ibrahim;


h) telah berbai’ah (taat setia) dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham@Ibrahim; atau


i)   mengamalkan, menyebarkan dan mengembangkan fahaman dan ajaran Millah Abraham@Ibrahim di Negeri Sarawak.


Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham@Ibrahim adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.


Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham@Ibrahim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, facebook, twitter atau media sosial lain adalah diharamkan.


Mana-mana orang Islam yang telah berbai’ah atau mengamalkan fahaman dan ajaran Millah Abraham@Ibrahim adalah disifatkan bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah dan hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah S.W.T.


Klik disini untuk mencetak