JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Penggunaan Rokok Elektronik Dan Vape Dari Perspektif Hukum Syarak

Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 2016
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Pulau Pinang
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 1/2016 yang bersidang pada 15 dan 16 Februari 2016 telah membincangkan mengenai Penggunaan Rokok Elektrik Dan Vape Dari Perspektif Hukum Syarak. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut:


(i) Rokok elektronik mengandungi Nikotin, Propylene Glycol, Vegetable Glycerin dan bahan perisa dan pewarna. Manakala vape pula mengandungi Propylene Glycol, Vegetable Glycerin dan bahan perisa dan pewarna.


(ii) Bahan-bahan yang terkandung di dalam Rokok Elektronik dan Vape tersebut boleh memudaratkan dan boleh memberi kesan kepada kesihatan seperti ketagihan, menggalakkan pembekuan darah, kematian mengejut, iritasi pada mata, tekak dan kulit serta mampu membunuh sel paru- paru. Kandungan lain yang terdapat di dalam Rokok Elektronik dan Vape juga boleh mendatangkan kesan sampingan kepada kesihatan.


(iii) Prinsip passive smoker seperti pada rokok konvensional juga terpakai pada Rokok Elektronik dan Vape di mana orang yang berada di sekeliling juga mendapat kesan hembusan wap yang keluar daripada rokok elektronik dan vape. Oleh itu, ia tidak hanya memberi mudarat kepada penghisap Rokok Elektronik dan Vape tersebut bahkan juga orang di sekeliling mereka.


(iv) Berdasarkan dapatan kajian-kajian dari sudut perubatan dan saintifik yang dibentangkan tersebut, Rokok Elektronik dan Vape masih tidak terbukti sebagai alternatif rawatan ketagihan berhenti merokok atau nikotin oleh perokok-perokok, malahan ia menyebabkan lebih ramai akan terjebak dalam permasalahan ini, termasuk remaja dan kanak-kanak.


(v) Dari perspektif syarak, hukum pengharaman memakan atau meminum atau mengambil bahan-bahan yang memudaratkan disebut oleh ulama daripada keempat-empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali dalam kitab-kitab mereka. Mereka menyatakan bahawa bahan-bahan yang memudaratkan tubuh badan haram dimakan, diminum atau diambil sekalipun ia suci seperti racun, tanah, kaca dan seumpamanya.


(vi) Salah satu dalil umum dalam pengharaman penggunaan Rokok Elektronik dan Vape ini ialah perbuatan tersebut memudaratkan tubuh. Syariat Islam melarang perbuatan dan tindakan yang membawa kepada kebinasaan dan memudaratkan diri, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 195:


وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

 Maksudnya : Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.


 Hadith Nabi SAW:

لا ضرر ولا ضرار

 Maksudnya : Tidak boleh mudharatkan (diri sendiri) dan memberi kemudharatan (kepada orang lain).

 (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni) 


(vii) Antara kriteria kemudharatan yang diambilkira oleh Islam dalam pengharaman sesuatu makanan atau minuman atau bahan itu ialah:


a. Kemudaratan bahan tersebut terbukti dengan jelas atau nyata;

b. Pengambilan bahan tersebut secara kebiasaannya (ghalib) boleh membawa kemudaratan;

c. Kemudaratan merangkumi kemudaratan yang berlaku secara segera atau secara perlahan;

d. Kemudaratan merangkumi sesuatu yang boleh membawa kematian, kehilangan atau kerosakkan anggota, membawa penyakit berbahaya, atau kemudaratan pada akal; dan

e. Bahan yang memudaratkan tersebut tidak mempunyai sebarang manfaat yang muktabar.


(viii) Penghujahan berasaskan kepada qiyas juga membuktikan bahawa Rokok Elektronik dan Vape tidak berbeza hukumnya dengan rokok konvensional kerana kedua-duanya mempunyai ʿillah yang sama iaitu memudaratkan tubuh.


(ix) Penggunaan Rokok Elektronik dan Vape adalah bentuk pembaziran yang diharamkan oleh agama kerana ia adalah perbelanjaan dalam perkara yang sia-sia, tidak berfaedah, dan malahan memudaratkan tubuh. Ia juga membebankan ekonomi negara bagi membiayai kos rawatan penyakit berkaitan.


(x) Penggunaan Rokok Elektronik dan Vape juga terdedah kepada penyalahgunaan yang boleh membawa kepada kegiatan pengedaran ganja dan dadah yang berbahaya. Justeru, adalah wajar perkara-perkara yang sangat terdedah kepada kemudaratan yang besar ditutup melalui penetapan hukum haram, berasaskan kepada kaedah sadd al-dharīʿah سد الذريعة iaitu “menutup pintu kerosakkan".


(xi) Berasaskan kepada maslahah umum, pihak pemerintah mempunyai kuasa untuk melarang penggunaan bahan-bahan yang memudaratkan kepada masyarakat bagi menjaga kepentingan umum (maslahah ammah) mereka berdasarkan kaedah fiqh:

 تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya : Tindakan pemerintah terhadap rakyathendaklah bergantung kepada maṣlaḥah” 

(الاشباه والظلئر, للسيوطي, ص 134)


(xii) Islam adalah agama yang lengkap yang sentiasa menjaga kehidupan manusia sejagat berdasarkan prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta. Penggunaan Rokok Elektronik dan Vape ini sekiranya tidak dibendung, boleh meruntuhkan lima prinsip syarak ini.


(xiii) Berdasarkan kepada hujah-hujah yang dikemukakan serta perbincangan dan pandangan yang diberikan mesyuarat memberi pandangan hukum bahawa penggunaan Rokok Elektronik dan Vape adalah haram. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang menghisap Rokok Elektronik dan Vape atau apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan Rokok Elektronik dan Vape.


Klik disini untuk mencetak